KAJANG: Seramai 2,000 anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan ditempatkan di pelbagai kawasan panas atau hotspot di seluruh negara bagi tujuan pemantauan dan penguatkuasaan sepanjang Hari Raya Aidiladha esok.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, walaupun anggota hanya berada di lokasi tertentu dengan kehadiran kenderaan jabatan mampu mewujudkan persepsi dalam kalangan orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika memandu.
Katanya, tujuan utama bukan untuk mengeluarkan saman semata-mata sebaliknya memastikan pengguna jalan raya lebih berwaspada, khususnya di kawasan berisiko tinggi kemalangan.
“Pendekatan ini secara tidak langsung memberi kesan psikologi kepada pemandu untuk mematuhi peraturan jalan raya.
“Kita berharap langkah ini dapat membantu mengurangkan kadar kemalangan jalan raya,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM) Tukar Hak Milik Persendirian (M.V.15) di sini hari ini.
Tambahnya, antara kesalahan utama yang akan dikesan dalam operasi penguatkuasaa ialah membabitkan lesen memandu, cukai jalan dan permit kenderaan.
Katanya, pemeriksaan dilakukan bagi memastikan pemandu memiliki lesen memandu sah selain memastikan cukai jalan dan perlindungan insurans masih aktif.
“Biasanya kita semak sama ada mereka ada lesen memandu yang sah, cukai jalan dan insurans kerana ini berkaitan dengan insurans,” katanya.
Loke berkata, pemeriksaan turut akan dilaksanakan di terminal bas ekspres sebelum kenderaan itu memulakan perjalanan.
“Operasi dilakukan lebih awal sebelum penumpang menaiki bas di terminal-terminal bagi memeriksa pemandu.
“Kita juga akan menjalankan saringan ujian serta menilai keadaan bas dan aspek keselamatan lain bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya sentiasa terjamin.” katanya.
Katanya, pemeriksaan lebih ketat dilakukan, termasuk semakan permit, Lesen Kenderaan Perdagangan (GDL) dan Lesen Vokasional Perkhidmatan Awam (PSV).
Selain itu, jelasnya, JPJ turut menjalankan saringan ujian dadah secara berkala untuk memastikan pemandu berada dalam keadaan sihat dan selamat ketika memandu.
“Operasi pemeriksaan terhadap pemandu bas ekspres dijalankan secara berterusan termasuk di terminal-terminal bas di seluruh negara.
“Syarikat pengendali bas juga mempunyai tanggungjawab memastikan keadaan bas serta pemandu berada pada tahap baik dan mematuhi syarat lesen pengendali yang ditetapkan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat,” katanya.
Katanya, syarikat yang gagal melaksanakan pemeriksaan terhadap pemandu mereka boleh dikenakan tindakan termasuk penggantungan lesen pengendali.
Loke berkata, tiada sekatan jalan raya tidak dilaksanakan pada musim perayaan kerana ia boleh menyebabkan kesesakan lalu lintas yang lebih teruk, malah strategi sama akan terus diguna pakai setiap kali musim perayaan apabila berlaku peningkatan pergerakan kenderaan di jalan raya. – UTUSAN










