Sokong usaha Petronas bangunkan rizab minyak di ZEE - Utusan Malaysia

Sokong usaha Petronas bangunkan rizab minyak di ZEE

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Usaha Petronas membangunkan rizab minyak dan gas dalam Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia di Laut China Selatan perlu menjadi fokus dan disokong penuh kerajaan bagi menjamin kedaulatan negara. 

Bekas penyelidik kanan di Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Samirul Ariff Othman berkata, kerajaan perlu mengambil pendekatan yang lebih optimum dalam menjayakan usaha tersebut sebelum pihak luar mengambil kesempatan sehingga mampu menjejaskan akses negara kepada sumber sendiri. 

Menurutnya, hal ini bukan sahaja penting kepada ekonomi dan pendapatan negara, malah mampu memberi kelebihan kepada Malaysia dalam mengakses sumber tempatan, sekali gus menunjukkan kekuatan kepada negara asing agar tidak mudah ‘dibuli’ atau dipaksa keluar daripada kawasan tersebut. 

“Malaysia adalah negara pengeluar minyak dan negara maritim. Ini adalah sejarah kita, warisan kita dan hak kita. Kita tidak boleh memberi ruang kepada sebarang salah faham mengenai perkara ini. Jika Malaysia mahu mengeksploitasi rizab minyak dan gas di wilayahnya sendiri, tiada kuasa luar boleh campur tangan dan kita mesti jelaskan bahawa kita tidak akan gentar. 

“Selain membawa masuk pendapatan yang sangat diperlukan untuk Malaysia, membangunkan rizab minyak dan gas ini turut menghantar isyarat kepada negara asing yang ingin menuntut seluruh Laut China Selatan untuk diri mereka sendiri: Ini milik kita dan bukan milik mereka. Jangan cuba dapatkan sebarang idea daripada pihak mereka,” katanya, hari ini. 

Sebelum ini, China dilaporkan menghantar beberapa kapal tinjauan ke ZEE Malaysia, salah satu daripadanya adalah Da Yang Hao seberat 4,600 tan mengikuti kapal Malaysia pada Oktober 2021. 

Beberapa bulan sebelum itu juga, beberapa gangguan turut dilakukan oleh kapal China terhadap sebuah kapal gerudi di bawah kontrak dengan Petronas iaitu West Capella.

Mengulas lanjut, Samirul Ariff turut berkata, tindakan sedemikian sudah pasti merupakan ancaman terhadap negara sehingga mampu menjejaskan sumber-sumber lain.

“Insiden seperti ini menunjukkan ancaman sebenar yang dihadapi Malaysia. Sambil memegang pengaruh terhadap Malaysia sebagai rakan perdagangan, China sentiasa menguji perairan Laut China Selatan untuk melihat sejauh mana Malaysia akan bertindak balas.

“Jika kita tidak berhati-hati, kita akan ditolak keluar dari kawasan itu. Bukan sahaja hasil minyak dan gas terjejas, tetapi juga dalam perikanan, mineral dan sumber lain,” jelasnya.

Tambah Samirul Ariff lagi, selain meningkatkan keupayaan pertahanan, kerajaan juga tidak boleh berdiam diri terhadap gangguan sedemikian dan perlu menyatakan secara tegas kepada umum bagi membuat bantahan sewajarnya jika terdapat mana-mana pihak yang cuba masuk campur terhadap sumber asli negara.

“Kerajaan mesti menjelaskan jika terdapat sebarang gangguan kepada aktiviti Petronas adalah melepasi garisan merah negara. Ia akan memberi kesan jika ada mana-mana pihak yang campur tangan.

“Dalam hal ini, selain meningkatkan keupayaan pertahanan kita, Malaysia tidak boleh berdiam diri apabila gangguan sebegini berlaku. Ia perlu dinyatakan secara umum dan buat bantahan mengenai perkara itu. Sekurang-kuranya, orang ramai akan tahu pihak mana yang meletakkan ekonomi negara dalam risiko,” katanya.

Malaysia adalah salah satu daripada empat penuntut utama dalam kalangan Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) dimana masing-masing telah melukis sempadan ZEE masing-masing, dan beberapa kawasan daripadanya bertindih. 

Rundingan dan kerjasama sedang dijalankan di bawah rangka kerja ASEAN untuk menyelesaikan pertikaian ini. 

Bagaimanapun, China mendakwa keseluruhan kawasan itu sendiri di bawah ‘garisan sembilan sempang’ yang meliputi seluruh kawasan, namun peta terbarunya tahun tidak diiktiraf undang-undang antarabangsa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya