KUALA LUMPUR: Dua Kapal Misi Pelbagai Guna (Multi Purpose Mission Ship) atau MPMS yang dijangka siap pada tahun depan bakal digunakan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di perairan Laut China Selatan.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd. Rosli Abdullah berkata, MPMS kedua atau kapal induk merupakan satu program pembangunan Maritim Malaysia dan kesinambungan MPMS pertama.
Menurutnya, MPMS kedua mempunyai spesifikasi hampir sama dan dijangka dapat disiapkan penghujung 2027, manakala MPMS pertama disiapkan seawal Februari, tahun sama.
“MPMS pertama akan disiapkan sebelum Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) tahun depan untuk dipamerkan keupayaannya.
“Kapal MPMS kedua ini secara ringkasnya sepanjang 99 meter dan dilengkapi empat buah bot pemintas untuk operasi penguatkuasaan dan pengoperasian,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2026, di sini semalam.
Beliau berkata, kedua-dua kapal ini masing-masing dilengkapi empat bot pemintas selain berupaya beroperasi di tengah laut sehingga 30 hari.
Katanya, setiap pelayaran sekitar dua hingga tiga minggu dan pastinya akan beroperasi di kawasan yang sensitif bagi memelihara keselamatan perairan negara khususnya Laut China Selatan.
“Kapal MPMS akan melaksanakan rondaan dan dibantu keupayaan bot pemintas. Jadi bila berada lama di tengah laut, kita percaya akan lebih melaksanakan operasi bagi mengawal sempadan lebih efisien,” ujarnya.
Menurutnya, Maritim Malaysia melihat pembangunan dengan jumlah aset yang ingin dicapai termasuk sektor penting bagi memastikan keselamatan perairan negara.
“Selain itu, kita juga akan perkasakan Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) dengan kelengkapan teknologi,” ujarnya.
Media semalam melaporkan, perolehan aset strategik itu merupakan sebahagian daripada usaha memperkasa keupayaan pemantauan dan penguatkuasaan maritim negara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, MPMS berperanan sebagai kapal induk yang dilengkapi keupayaan rondaan, pemantauan, penguatkuasaan, pencegahan serta operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Kapal ini dilengkapi dek pendaratan helikopter, selain sistem radar dan komunikasi yang lebih canggih. – UTUSAN










