Maritim gagalkan cubaan seludup 700,000 liter diesel Euro 5, bernilai RM5.43 juta

Maritim gagalkan cubaan seludup 700,000 liter diesel Euro 5, bernilai RM5.43 juta

IHSAN MARITIM PULAU PINANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pulau Pinang menggagalkan cubaan menyeludup 700,000 liter diesel Euro 5 dianggarkan bernilai lebih RM5.43 juta menggunakan dua kapal tangki di perairan Bagan Ajam, malam tadi.

Dalam operasi berkenaan, Maritim Malaysia turut menahan kedua-dua kapal tangki berkenaan bersama 22 kru warga tempatan dan asing. 

Jumlah diesel yang dirampas berjumlah 800,000 dan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM2.33 bilion. 

Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, tindakan diambil hasil risikan yang diterima pada pukul 10.45 pagi berhubung pergerakan mencurigakan dua kapal dalam keadaan bersauh di lokasi berkenaan.

“Susulan maklumat tersebut, satu Ops Bersepadu segera digerakkan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Pulau Pinang sebelum sebuah bot peronda Maritim Malaysia dihantar ke lokasi bagi melakukan pemeriksaan.

“Pemeriksaan mendapati, kedua-dua kapal berada dalam keadaan bergandingan dan disyaki sedang menjalankan aktiviti pemindahan minyak dari kapal ke kapal (ship-to-ship transfer) tanpa kebenaran,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut mendapati aktiviti tersebut melibatkan pemindahan minyak diesel Euro 5 dengan anggaran sebanyak 700,000 liter, manakala keseluruhan rampasan minyak dianggarkan mencecah 800,000 liter.

“Operasi turut membawa kepada penahanan 22 kru terdiri daripada warga Malaysia, Myanmar, Russia, Filipina dan Indonesia yang berada di atas kedua-dua kapal berkenaan.

“Keseluruhan nilai rampasan dianggarkan mencecah RM2.33 bilion sekali gus menjadikan kes ini antara tangkapan berprofil tinggi di perairan negara tahun ini,” katanya.

Beliau berkata, nilai tersebut merangkumi kedua-dua kapal tangki serta muatan diesel Euro 5 yang cuba diseludup dianggarkan bernilai RM5.43 juta.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 491B (1)(k) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana melakukan aktiviti pemindahan kapal ke kapal tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia yang jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM200,000 ke atas setiap vesel.

“Selain itu, siasatan turut dijalankan di bawah Akta Kastam 1967 berikutan kegagalan mengemukakan dokumen berkaitan pemindahan minyak serta pengisytiharan kargo,” katanya.

Beliau berkata, kesemua kru dan kapal yang ditahan dibawa ke jeti sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Negeri Pulau Pinang untuk tindakan lanjut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN