Maritim Malaysia gagalkan cubaan seludup keluar RM1 juta syabu

Maritim Malaysia gagalkan cubaan seludup keluar RM1 juta syabu

terkini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tanjung Sedili berjaya menggagalkan percubaan menyeludup keluar dadah dipercayai syabu bernilai kira-kira RM1 juta pada Rabu lalu.

Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili, Komander Maritim Mohd. Najib Sam berkata, serbuan itu dilakukan pada kedudukan 0.4 batu nautika barat Batu Layar pada pukul 9.40 malam. 

Namun katanya, dua orang suspek sempat melarikan diri daripada penguatkuasaan selepas mereka bertindak terjun laut selepas dikesan.

“Dalam operasi itu, bot ronda Maritim Malaysia mengesan sebuah bot gentian kaca tanpa nombor pendaftaran dalam keadaan mencurigakan. 

“Anggota penguatkuasa bertindak mengejar bot berkenaan selama kira-kira 10 minit sebelum kedua-dua suspek terjun meninggalkan bot.

“Pemeriksaan terhadap bot berkenaan menemukan sebuah beg mengandungi 20 bungkusan berwarna kuning disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat keseluruhan mencecah 20 kilogram.

“Rampasan dadah serta bot dianggarkan berjumlah RM1 juta,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Zon Maritim Tanjung Sedili di sini hari ini.

Tambah Mohd. Najib, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek sedang menghantar sejumlah dadah berkenaan ke negara jiran dengan terdapat berkemungkinan sebuah bot lain sedang menunggu untuk menerima bungkusan di pertengahan jalan.

“Jarak lokasi bot berkenaan ke negara jiran sekitar 30 hingga 40 batu. Manakala enjin bot dinaiki suspek berkuatan 85 kuasa kuda, jadi untuk terus ke negara jiran ia merupakan jarak yang jauh.

“Kesemua rampasan telah dibawa ke Jeti Pos Maritim Pengerang untuk siasatan lanjut mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN