Op Khas Pagar Laut: 617 ditahan, rampasan RM4.6 juta 

Op Khas Pagar Laut: 617 ditahan, rampasan RM4.6 juta 

ANTARA pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menerusi Op Khas Pagar Laut 1/2026.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak RM4.6 juta nilai rampasan dicatatkan dalam Op Khas Pagar Laut 1/2026, yang turut menyaksikan 142 kes dikesan dan 617 individu ditahan pihak berkuasa maritim negara.

Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Laksamana Maritim Datuk Mohd. Rosli Abdullah berkata, operasi berfokus itu bertujuan membanteras pelbagai aktiviti jenayah termasuk penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI), barangan kawalan serta kontraban menjelang musim perayaan.

Menurutnya, operasi berkenaan berlangsung dari 27 Februari hingga 10 April lalu melibatkan penggemblengan aset laut dan udara secara menyeluruh di kawasan dikenal pasti sebagai titik panas.

“Daripada keseluruhan tangkapan tersebut, warganegara Indonesia mencatatkan jumlah tertinggi iaitu seramai 210 orang diikuti Myanmar dengan 84 orang yang ditahan.

“Situasi itu menunjukkan laluan laut negara masih menjadi sasaran utama kemasukan pendatang asing tanpa izin yang cuba menyelinap masuk melalui perairan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohd. Rosli, kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 kekal sebagai penyumbang utama dengan 68 kes direkodkan sepanjang operasi berkenaan dijalankan oleh pihak berkuasa.

Katanya, kes di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 pula mencatatkan 39 kes manakala Akta Imigresen 1959/63 pula merekodkan sebanyak 23 kes sepanjang tempoh operasi.

“Pendekatan operasi ini turut diperkukuh dengan pemantauan udara menggunakan pesawat Maritim Malaysia serta pengesanan melalui Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) di Lumut dan Kota Kinabalu, bagi memastikan setiap pergerakan mencurigakan dapat dikesan lebih awal.

“Selain itu, Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu sebanyak 37 kes, diikuti Johor dengan 33 kes dan Kedah dan Perlis 24 kes.

“Operasi itu bukan penamat, sebaliknya sebahagian usaha berterusan sepanjang tahun bagi memastikan keselamatan perairan negara sentiasa terpelihara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN