Skim gaji baharu penjawat awam diumum akhir tahun depan - PM

Skim gaji baharu penjawat awam diumum akhir tahun depan – PM

ANWAR Ibrahim menyampaikan Anugerah AIPSA kepada pemenang dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang diwakili Ketua Pengarah JBPM, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin pada Majlis Anugerah Inovasi Perdana Sektor Awam 2023 di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan akan mengumumkan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSP) yang baharu bagi penjawat awam selewat-lewatnya akhir tahun depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, garis panduan mengenai pelaksanaan skim baharu itu akan dikeluarkan awal tahun depan.

“Kita akan keluarkan beberapa garis panduan awal tahun depan supaya sebelum akhir tahun 2024 kita boleh umumkan skim gaji baharu itu.

“Saya akui dasar kita selama ini ada kajian penyelarasan gaji bagi setiap 10 tahun dan ketika ini, skim lama sudah masuk tahun ke-12.

“Sebelum ini tidak ada kajian menyeluruh tetapi sekarang saya telah umum dan akan lakukan kerana ini akan mengambil masa memandangkan ia melibatkan semua jabatan,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Inovasi Perdana Sektor Awam (AIPSA) 2023, di sini hari ini.

Katanya, Kerajaan Madani di bawah pimpinannya mempunyai dasar jelas untuk mengangkat tahap ekonomi dan kesejahteraan rakyat sekurang-kurangnya dalam tempoh empat tahun ini sebelum pilihan raya umum akan datang.

Sebelum ini, Anwar mengarahkan supaya Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSP) disiapkan pertengahan tahun depan untuk memastikan struktur gaji baharu kepada penjawat awam dapat diumumkan dalam belanjawan akan datang.

Pada pembentangan Belanjawan 2024 baru-baru ini, kerajaan bersetuju memberi bayaran insentif awal Kajian SSP RM2,000 kepada semua penjawat awam gred 56 ke bawah termasuk lantikan kontrak.

Kerajaan turut memberikan RM1,000 kepada semua jawatan utama sektor awam membabitkan polis, bomba, tentera, angkatan bersenjata serta seluruh anggota beruniform.

Bayaran insentif RM1,000 turut diberikan kepada semua pesara kerajaan termasuk veteran berpencen serta veteran tidak berpencen yang akan diberikan pada akhir Februari 2024. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya