Sirul perlu mohon ubah hukuman mati

Sirul perlu mohon ubah hukuman mati

DUA bekas anggota polis, Sirul Azhar Umar (kiri) dan Azilah Hadri disabitkan atas kesalahan membunuh Altantuya Shaariibuu oleh Mahkamah Tinggi pada 2009. Mereka dijatuhi hukuman mati pada 2015.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Peguam kepada bekas anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Sirul Azhar Umar perlu membuat permohonan bagi menyemak semula hukuman gantung yang dikenakan ke atasnya di negara ini setelah Mahkamah Australia membebaskannya.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, semakan permohonan berkenaan perlu dibuat dalam tempoh 90 hari bermula 12 September lalu.

Ia berikutan kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh sebelum ini yang menjelaskan, banduan yang dikenakan hukuman mati mandatori dan hukuman penjara seumur hidup perlu memfailkan permohonan untuk menyemak semula hukuman berkenaan dalam tempoh tiga bulan di Mahkamah Persekutuan.

“Sirul perlu membuat permohonan melalui peguamnya untuk menukar hukuman di bawah akta yang telah diwujudkan pada tahun ini. Ini kerana apabila terdapat pindaan, hukuman mereka dibekukan di bawah undang-undang yang ada dan semakan permohonan akan dibuat oleh pihak Mahkamah Persekutuan.

“Dalam kes Sirul ini, sama ada kekal hukuman gantung, atau penjara, Mahkamah Persekutuan akan menentukannya,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Untuk rekod, mahkamah menjatuhkan hukuman mati kepada Sirul dan Azilah Harun pada April 2009 atas kesalahan membunuh Altantuya Shaariibuu.

Azilah kini sedang menunggu hukuman mati di penjara di Malaysia sementara Sirul melarikan diri ke Australia selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan terhadap mereka.
Sirul kemudian ditahan oleh pihak berkuasa Australia dan dasar negara itu adalah tidak menghantar pulang individu yang berdepan dengan hukuman mati di negara asal.

Namun, Sirul dilaporkan telah dibebaskan daripada Villawood Detention Centre di Sydney, Australia Rabu lalu selepas mahkamah tinggi negara berkenaan memutuskan penahanan tanpa tempoh ditetapkan bertentangan dengan undang-undang.

Malaysia pula pada masa ini mengenakan moratorium terhadap hukuman mati, dengan tiada banduan yang dikenakan hukuman itu sejak 2017.

Mengulas lanjut mengenai kes Sirul, Mohamed Haniff turut berkata, keputusan mahkamah Persekutuan itu akan mengambil kira beberapa faktor lain, termasuklah tindakan Sirul melarikan diri daripada pelaksanaan hukuman yang ditetapkan ke atasnya sebelum ini.

Namun jelasnya lagi, permohonan itu perlu dibuat jika Sirul ingin pulang ke Malaysia sahaja.

“Mahkamah Persekutuan akan tentukan kes Sirul ini, wajar atau tidak hukuman itu ditukar kepada penjara seumur hidup, kes Sirul melarikan diri daripada pelaksanaan hukuman, itu pun mungkin akan diambil kira.

“Jika Sirul tidak mahu pulang ke Malaysia, pihak Imigresen Australia akan menentukan pemberian visanya sebagai status penduduk di sana dengan syarat tertentu,” katanya lagi.

Terdahulu, Ramkarpal berkata, pemfailan notis usul dan afidavit sokongan untuk permohonan semakan, kini akan dilaksanakan oleh Jabatan Penjara Malaysia kepada mahkamah dengan permohonan penyemakan hukuman itu hanya boleh dilakukan sekali sahaja.

Tambah Ramkarpal lagi, permohonan semakan itu boleh dilakukan secara manual atau melalui sistem e-Filing kepada mahkamah dalam tempoh 90 hari, bermula tarikh kuat kuasa Akta Semakan
Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023 (Akta 847).

Untuk rekod, seramai 491 banduan tempatan dan 415 banduan bukan warganegara dikenakan hukuman mati mandatori, manakala bagi hukuman pemenjaraan seumur hidup membabitkan 82 banduan wargenagara dan 32 banduan bukan warganegara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN