Sidang DUN: LLSB tidak dijual, masih milik MBI - MB - Utusan Malaysia

Sidang DUN: LLSB tidak dijual, masih milik MBI – MB

LLSB
AMIRUDIN Shari berucap dalam penggulungan perbahasan Belanjawan Selangor 2024 pada Sidang DUN di Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Pertama DUN Ke-15 Tahun 2023 di Shah Alam, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kerajaan negeri menafikan anak syarikatnya Pemberbadanan Menteri Besar (MBI) melepaskan pegangan majoriti dalam Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB) kepada Berjaya Land Berhad (Berjaya Land)  bagi melupuskan hutangnya berjumlah RM45 juta.

Malah, kerajaan negeri juga menafikan hutang LLSB meningkat sehingga RM154 juta, sebaliknya sekadar mencecah RM54 juta selepas mengambil kira kadar faedah dikenakan sebanyak empat peratus.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, angka dinyatakan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam perbahasannya pada minggu lalu kurang tepat sebaliknya RM154 juta adalah keseluruhan penstrukturan hutang MBI.

Menurutnya, penubuhan Landasan Lumayan Berjaya Sdn Bhd (LBSB) juga merupakan syarikat berkeperluan khas (SPV) antara LLSB dan Berjaya Land bagi menjalankan projek pembangunan Sungai Klang Maritime Gateway (SMG).

“Tidak benar menjadi RM154 juta kerana jumlah itu adalah keseluruhan kepada penstrukturan banyak perkara (antaranya) penstrukturan anak-anak syarikat MBI dan sebagainya, untuk mengelakkan dividen trap.

“Kerana suatu ketika dahulu sebagai contoh sebuah syarikat yang mempunyai keuntungan yang besar, tapi ada trap tertentu seperti syarikat induk sperti Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) yang dihutangkan oleh Menteri Besar sebelum Hulu Kelang (Mohamed Azmin). 

“Kita terpaksa membiarkan keuntungan itu tidak sampai kepada MBI yang boleh digunakan projek pembangunan dan sebagainya,” katanya ketika menggulung perbahasan Belanjawan Selangor 2024 dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan Mohamed Azmin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang (PN) itu mendakwa LLSB sebagai sebuah syarikat sakit yang dilepaskan pegangannya kepada Berjaya Land.

Malah, perkara itu terus dibangkitkan apabila terdapat permohonan tambahan 40.5 hektar (100 ekar) tanah di daerah Dengkil dibuat oleh Berjaya Land melalui surat bertarikh 13 Julai 2022.

Amirudin yang juga ADUN Sungai Tua kemudian menjelaskan isu pembangunan tanah adalah melibatkan 46 hektar kepada syarikat diberikan kepada LLSB tidak diberikan secara percuma, sebaliknya ia bertujuan pembangunan sepanjang tebing Sungai Klang.

“Kita tidak pernah beri tanah secara percuma di sepanjang Sungai Klang. Maknanya disana mereka tetap bayar harga pasaran dan sehingga kini 114 ekar (46 hektar) dikenal pasti dengan jumlah lebih RM100 juta perlu dibayar LLSB terhadap apa yang perlu dibangunkan,” jawabnya.

Malah, beliau turut menjawab persoalan pembayaran premium oleh syarikat terbabit terhadap lot-lot tanah yang dibangkitkan Ketua Pembangkang ketika mencelah pada penggulungan tersebut.

“Ia (arahan bayaran premium) diserahkan kepada pihak pemaju dan mereka kita serahkan kepada MBI. Bila diserahkan kepada MBI bayaran RM1,000 segera diberikan kepada MBI dan berbincang kepada pihak terbabit. Bila mereka ingin pembangunan yang diberikan dan menukar syarat terhadap tanah itu, kita akan kenakan premium.

“Sebab itu saya sebutkan hanya 100 ekar lebih yang ditetapkan, tetapi ia benda baharu dibangkit ketika penggulungan, saya akan sahkan sekali lagi tetapi seingat saya kita tidak pernah beri nominal dalam Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) apabila pemberian tanah diberikan kepada LLBSB. Itu jaminannya,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya