Sidang DUN: Gubal undang-undang, 57 tapak sampah haram dikesan di Selangor - Utusan Malaysia

Sidang DUN: Gubal undang-undang, 57 tapak sampah haram dikesan di Selangor

Sampah haram
RAHIM Rohkim Iska menunjukkan cebisan plastik yang menimbun di atas kawasan berkeluasan kira-kira 2.2 hektar yang menjadi tapak pelupusan sampah haram lebih 10 tahun berhampiran Jalan Kapar di Klang, Selangor. - UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Selangor akan meneruskan penggubalan dan pewartaan enakmen atau undang-undang kecil pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam selepas terdapat 57 tapak pelupusan sampah haram aktif dikenal pasti di seluruh negeri.

Tapak pelupusan sampah haram dikesan paling banyak di dalam kawasan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) iaitu sebanyak 18 tempat diikuti Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) iaitu 13.

Kemudian terdapat satu hingga lapan tapak haram di kesan iaitu di Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Majlis Perbandaran Klang (MPK), Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) dan Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL).

Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Ng Suee Lim berkata, akta sedia ada iaitu Akta Kerajaan tempatan 1976 tidak mencukupi untuk mengawal operasi tapak pembuangan sampah yang membenarkan pihak berkuasa tempatan (PBT) membuat undang-undang kecil.

“Penguatkuasaan bagi Selangor ketika ini adalah terhad di bawah kuasa Undang-Undang Kecil Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah 2007. Denda bagi pembuangan sampah maksimum adalah RM2,000. Selain itu ia turut menghadkan tindakan yang boleh diambil kepada pengusaha atau operator tapak sampah haram.

“Kerajaan negeri sedar dan berusaha menambah baik undang-undang berkaitan dengan menggubal Enakmen Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam pada 2020. Namun perkara itu tidak mendapat sambutan daripada Kerajaan Persekutuan pada 2019 dan 2020,” katanya dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang, Cheong Kian Young (PH) yang mempersoalkan keberkesanan akta sedia ada dan senarai tapak pembuangan sampah haram aktif di Selangor.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan lebih 300,000 penduduk terkesan akibat kekerapan kebakaran yang berlaku di tapak pelupusan sampah haram di Batu 14, Jalan Kapar, Klang yang menjadi tempat lokasi pembuangan sisa industri seperti plastik, besi dan minyak.

Kewujudannya sejak lebih 10 tahun lalu menyebabkan wujud pihak tidak bertanggungjawab membakar sisa berkenaan untuk mendapatkan besi berharga seperti kabel elektrik sebelum dijual di kedai besi buruk.

Dalam pada itu, Suee Lim yang juga ADUN Sekinchan menjelaskan, cadangan penggubalan undang-undang kecil Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah Sarap 2007 kepada Undang-Undang Kecil Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam dibentang pada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada Disember 2022.

“Terkini MMKN pada Jun lalu menimbang dan menolak cadangan pemakaian Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 bagi Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam Selangor.

“MMKN bersetuju supaya penggubalan dan pewartaan enakmen atau undang-undang kecil diteruskan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa. Cadangan draf penggubalan sedang diteliti dan dibincangkan semula dengan semua PBT Selangor sebelum diangkat kepada pihak berkuasa negeri,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya