ALOR SETAR: “Masa masih ada lagi? Sebab sebelum ini saya bermain (bola sepak) banyak masa tambahan.”
Demikian seloroh bekas pemain bola sepak yang terjun ke dunia politik, Baddrol Bakhtiar (PN-Gurun) tatkala pertama kali bangun membahaskan pembentangan Belanjawan Kedah 2024 pada Mesyuarat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah ke-15, hari ini.
Selesa membahasakan dirinya sebagai ‘Gurun’ sepanjang perbahasan itu, Baddrol, 35, dilihat tidak kekok dengan posisi baharunya ketika membaca teks yang disediakan bagi sesi itu.
Malah Timbalan Speaker DUN Kedah, Abdul Razak Khamis turut memuji wakil rakyat berkenaan sebagai ‘YB Muda’ yang sopan usai perbahasan tersebut.
“Teruja jumpa anak muda yang cukup menghormati dewan, cara dia sopan. Ini contoh YB Muda yang patut kita contohi. Harap kekal dengan cara itu, anak muda kita nak tengok,” katanya ketika mengendalikan sidang tersebut.
Baddrol ketika sesi perbahasan membangkitkan banyak isu berkaitan sukan termasuk komitmen kerajaan negeri untuk membangunkan sukan negeri ini termasuk melahirkan lebih ramai atlet.
“Gurun suka jika Exco mempertimbangkan sukan yang semakin suram agar diwujudkan satu daerah satu sukan,” katanya.
Beliau juga mencadangkan agar kerajaan negeri menggunakan peruntukan RM4 juta bagi membaiki trek di Stadium Darul Aman yang didakwanya sudah usang.
“Trek di Stadium Darul Aman ini sejak zaman saya main bola sepak dan harap dibaiki supaya boleh lahir pelari pecut bertaraf antarabangsa,” katanya.
Selain itu, Baddrol turut membangkitkan masalah rakyat di Gurun termasuk sistem perparitan, masalah rumput dan pokok tua agar dapat diselenggarakan dengan baik oleh pihak berkaitan.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah, Ogos tahun lepas, bekas ketua pasukan bola sepak Kedah itu memenangi kerusi DUN Gurun ketika berhadapan dengan calon Pakatan Harapan (PH), Mohammad Firdaus Johari. –UTUSAN










