Empat kapal tangki berpatah balik dari Selat Hormuz

Empat kapal tangki patah balik dari Selat Hormuz

GAMBAR fail menunjukkan beberapa kapal belayar di Pantai Suru di Bandar Abbas, sepanjang Selat Hormuz.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUBAI: Sekurang-kurangnya empat kapal tangki minyak dan gas berpatah balik daripada meneruskan pelayaran melalui Selat Hormuz susulan kebimbangan terhadap keselamatan selepas beberapa kapal diserang di laluan strategik itu, menurut data penjejakan kapal.

Tindakan itu susulan selepas sebuah kapal tangki gas asli cecair (LNG) dari Qatar dan sebuah kapal tangki minyak mentah berbendera Arab Saudi dilaporkan rosak berhampiran Selat Hormuz semalam.

Insiden itu berlaku susulan laporan Iran melancarkan serangan peluru berpandu ke arah kapal-kapal yang melalui laluan berkenaan, sekali gus mendorong pihak berkuasa maritim menaikkan tahap ancaman kepada kapal yang merentasi Selat Hormuz kepada tahap teruk.

Menurut data daripada firma analitik Kpler dan LSEG, tiga kapal tangki LNG iaitu Al Ghariya, Duhail dan Al Ruwais pada mulanya belayar ke arah barat menuju Selat Hormuz sebelum menukar haluan dan berpatah balik lewat semalam.

Ketiga-tiga kapal tangki LNG berkenaan, yang dikendalikan QatarEnergy, dilaporkan kosong dan dalam perjalanan menuju ke kemudahan eksport Ras Laffan di Qatar bagi memuatkan kargo.

Sementara itu, data daripada LSEG dan Kpler turut menunjukkan sebuah kapal tangki berbendera India yang membawa dua juta tong minyak mentah Kuwait, dimuatkan pada penghujung minggu lalu, membuat pusingan U berhampiran hujung Semenanjung Oman di Selat Hormuz hari ini.

Sejak konflik bermula pada penghujung Februari, sekurang-kurangnya 16 penghantaran gas asli cecair (LNG) dari Ras Laffan dan 10 lagi dari terminal Das Island milik ADNOC di Emiriah Arab Bersatu berjaya melalui Selat Hormuz.

Bagaimanapun, jumlah itu masih jauh lebih rendah berbanding kira-kira tujuh juta tan LNG yang biasanya dieksport setiap bulan dari kedua-dua hab eksport berkenaan.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN