PETALING JAYA: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Martabat Untuk Semua (Martabat PJ) menggesa Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Lim Hui Ying menarik balik kenyataannya di Parlimen bahawa pengguguran adalah dilarang mengikut undang-undang.
Presidennya, April Chang berkata, kenyataan itu salah dari segi undang-undang, mengelirukan dan tidak sesuai dibuat oleh seorang Timbalan Menteri yang diamanahkan menjaga kesihatan, hak serta kebajikan seksual dan reproduktif wanita.
Katanya, kenyataan sedemikian memberi gambaran tidak tepat terhadap undang-undang Malaysia dan boleh mengelirukan Parlimen dan orang ramai.
“Ini bukanlah kesilapan kecil. Ia adalah kegagalan serius yang berisiko memudaratkan wanita.
“Selama beberapa dekad, organisasi wanita, profesional kesihatan, peguam dan advokat bekerja tanpa mengenal penat lelah untuk mendidik pembuat dasar, petugas kesihatan dan orang ramai bahawa undang-undang pengguguran Malaysia mengandungi pengecualian undang-undang penting yang direka untuk melindungi nyawa dan kesihatan wanita,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut April, apabila seorang pemimpin kerajaan secara salah menyatakan bahawa pengguguran adalah haram, kesannya boleh menjadi meluas.
Beliau berkata, wanita mungkin terhalang daripada mendapatkan rawatan perubatan yang sah, manakala pegawai kesihatan pula boleh menjadi lebih teragak-agak untuk menyediakan perkhidmatan yang dibenarkan di bawah undang-undang.
Katanya, keadaan itu juga boleh mengukuhkan ketakutan, stigma dan maklumat salah, sekali gus meletakkan nyawa serta kesihatan wanita pada risiko tidak perlu.
“Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sepatutnya menerajui usaha memastikan wanita mempunyai akses kepada maklumat tepat, bukannya mengekalkan salah tanggapan undang-undang yang membahayakan mereka,” katanya.
April berkata, pihaknya mahu Hui Ying menarik balik kenyataan tidak tepat itu secara terbuka, selain membetulkan rekod Parlimen supaya mencerminkan kedudukan undang-undang dengan tepat.
Beliau berkata, semua menteri dan pegawai kementerian juga perlu diberi taklimat sewajarnya mengenai undang-undang berkaitan kesihatan serta hak reproduktif wanita sebelum membuat sebarang kenyataan awam.
“Wanita berhak mendapat fakta, bukan maklumat salah. Parlimen berhak mendapat maklumat tepat, bukan pernyataan undang-undang yang tidak tepat.
“Paling penting, tiada nyawa atau kesihatan reproduktif wanita harus terjejas kerana pihak yang diamanahkan untuk melindungi hak mereka tidak memahami undang-undang,” katanya. – UTUSAN










