Pengambilan tanah Jalan Taman Datuk Senu selesai empat bulan

Pengambilan tanah Jalan Taman Datuk Senu selesai empat bulan

HANNAH YEOH (dua, kanan) bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud (tiga, kiri) ketika majlis pelancaran Program Geran Pusat Bandar Kuala Lumpur di Odean Kuala Lumpur hari ini. UTUSAN/M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Proses pengambilan tanah membabitkan laluan di Jalan Taman Datuk Senu dan sebahagian Jalan Taman Datuk Senu 3, Sentul di sini, yang menjadi perhatian susulan notis penutupan jalan dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh empat bulan.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud berkata, proses pengambilan tanah itu telah dimulakan selepas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mendapati laluan berkenaan merupakan hak milik persendirian dan pengambilan tanah di kawasan itu tidak pernah dilakukan sebelum ini.

“Pengambilan tanah di Taman Datuk Senu tidak pernah dilakukan sebelum ini. Kita dapati laluan itu adalah hak milik pemilik tanah.

“Sejak awal Februari, kami telah memulakan perbincangan. Proses permohonan ini juga telah dikemukakan kepada Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG). Proses pengambilan tanah ini bukan DBKL yang melaksanakannya, tetapi pihak kerajaan.

“Jika semuanya berjalan lancar dan tiada halangan daripada segi penilaian, mungkin ia dapat diselesaikan dalam tempoh tiga hingga empat bulan,” katanya kepada pemberita selepas Program Geran Pusat Bandar Kuala Lumpur 2026 dan Hari Terbuka Ekosistem di Panggung Wayang Odeon KL, di sini hari ini.

Sejak awal tahun ini, penduduk di kawasan itu menzahirkan kebimbangan dan harapan supaya laluan utama yang menjadi nadi pergerakan harian mereka tidak ditutup memandangkan jalan berkenaan sudah digunakan lebih 30 tahun.

Fadlun berkata, ketika ini proses mendapatkan kelulusan bagi pewartaan dan pembayaran pampasan sedang berjalan.

Katanya, tempoh penyelesaian bergantung kepada kelancaran proses kelulusan serta persetujuan pemilik tanah terhadap kadar pampasan yang ditetapkan.

“Kami akan cuba mempercepatkannya. Jika boleh, dalam tempoh tiga hingga empat bulan akan datang dan diharapkan ia dapat diselesaikan. Itu pun kalau pemilik tanah berpuas hati dengan jumlah bayaran yang ditetapkan. Ini kerana kadar pampasan ditentukan oleh Jabatan Penilaian,” katanya.

Beliau turut menasihatkan pemilik tanah supaya memberi ruang kepada kerajaan menyelesaikan proses berkenaan dan membenarkan laluan itu terus digunakan oleh orang ramai buat sementara waktu.

“Saya nasihat pemilik tanah bersabar sebab proses sudah berjalan serta membenarkan tanah tersebut digunakan jadi laluan. Proses itu sedang diuruskan segera,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN