Siasatan kes Mitra selesai - Azam Baki

Siasatan kes Mitra selesai – Azam Baki

AZAM BAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan siasatan berhubung penyelewengan dana Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) sudah selesai di pihaknya.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki memaklumkan, mereka yang terlibat juga sudah didakwa di mahkamah.

“(Siasatan) dah selesai, bahagian kertas pendakwaan pun (sudah selesai) dan kita juga sudah kemukakan kepada Mitra, saranan serta nasihat mengenai prosedur yang lemah,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Hari Integriti Kementerian Komunikasi dan Digital di sini, hari ini.

Sebelum ini, SPRM menyiasat peruntukan Mitra yang diberikan kepada 337 syarikat, persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sejak 2019 hingga 2021 dengan peruntukan berjumlah kira-kira RM203 juta.

Siasatan SPRM berhubung pengurusan dana agensi berkenaan terbahagi kepada dua fasa, dengan fasa satu terarah kepada kira-kira 27 syarikat, persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menerima antara RM1 juta hingga RM9 juta.

Fasa kedua siasatan pula dijalankan menerusi kerjasama dengan Kementerian Perpaduan Negara, menerusi penubuhan sebuah jawatankuasa khas bagi memperhalusi kesahihan penggunaan geran Mitra, membabitkan peruntukan kurang daripada RM1 juta.

Berdasarkan siasatan terhadap 10 syarikat dalam fasa satu sebelum ini, didapati 80 peratus daripadanya menyalahgunakan dan menyeleweng peruntukan untuk kepentingan peribadi, berbanding tujuan asal iaitu meningkatkan taraf sosio-ekonomi masyarakat India.

Sementara itu, mengenai siasatan terhadap menantu bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Azam berkata, masih belum ada sebarang perkembangan.

“(Dia) masih bebas (di luar negara), kita mendapatkan bantuan daripada banyak negara lain yang kita ada rangkaian seperti INTERPOL dan lain-lain,” katanya.

Azam sebelum ini memberitahu media menantu Muhyiddin, Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan, 48, dan Mansoor Saat, 69, dikehendaki tampil ke SPRM bagi tujuan pendakwaan kes rasuah dan penyelewengan berhubung projek berkaitan pendaftaran, pengambilan serta penyimpanan biometrik pekerja asing di sebuah kementerian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya