PETALING JAYA: “Sepanjang 71 tahun saya hidup, ini peperangan paling dahsyat pernah berlaku antara Hamas dengan Israel,” kata rakyat Palestin, Adnan Mohammed Shaat.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Adnan yang merupakan bapa mentua kepada rakyat Malaysia, Nurul Ain Haron berkata, peperangan kali ini mengakibatkan lebih 10,000 nyawa rakyat Palestin di Semenanjung Gaza terkorban setakat ini.

Menurutnya, keadaan di keseluruhan Semenanjung Gaza juga tidak ubah seperti ‘padang jarak, padang tekukur’ selepas rejim zionis menyasarkan kediaman penduduk, sekolah, masjid, pusat perniagaan, gereja, hospital dan sebagainya.
“Saya tidak tahu bagaimana keadaannya ketika perang Nakba antara Palestin dengan Israel kerana saya masih belum lahir pada masa itu, namun sudah pasti ia lebih dahsyat. Jutaan rakyat Palestin diusir dalam peperangan tersebut.
“Tetapi apa yang berlaku hari ini, adalah perang paling buruk sepanjang hidup saya. Jumlah mangsa syahid sudah mencecah 10,000 orang dengan 2,000 lagi masih hilang.
“Walaupun ramai masih terselamat buat masa ini tetapi sudah 1.5 juta orang kehilangan rumah sejak 7 Oktober lalu,” katanya dalam bahasa Arab dengan dibantu oleh anaknya, Mohamed Adan Shaat untuk menterjemahkan ke bahasa Melayu.
Menantu Adnan, Nurul Ain, 37, seorang rakyat Malaysia berasal dari Keramat, Kuala Lumpur yang berkahwin dengan anaknya, Mohamed Adan, 33, dan menetap di Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Kedua-dua pasangan tersebut tiba di Gaza pada 1 Oktober lalu selepas sembilan tahun Mohamed Adan tidak pulang ke kampung halamannya manakala bagi Nurul Ain itu adalah kali pertama dia bertemu dengan keluarga mentuanya sejak berkahwin.
Mereka sepatutnya meninggalkan Gaza pada 25 Oktober lalu namun terkandas akibat perang meletus antara Hamas dengan Israel sehingga hari ini.
Beliau dan suami masih lagi menunggu ‘lampu hijau’ daripada Kedutaan Malaysia di Mesir untuk meninggalkan wilayah bergolak tersebut.
Mengulas lanjut Adnan berkata, peperangan antara Hamas dan Israel yang berlaku kali ini bukanlah keputusan atau pilihan penduduk Gaza namun mereka setuju dan gembira dengan tindakan pejuang kemerdekaan Palestin terhadap rejim zionis pada 7 Oktober lalu.
“Kami sokong dan kekal menyokong Hamas atau mana-mana pejuang kemerdekaan Palestin. Mereka mewakili kami dalam peperangan ini.
“Pada masa sama, kami juga faham dan terima kesan serta akibatnya seperti yang dilihat hari ini. Insya-Allah, pada satu hari nanti Palestin akan merdeka,” katanya. – UTUSAN










