PASIR PUTEH: Pertubuhan Muafakat Pondok Semalaysia (PMPS) membuat laporan polis terhadap ciapan dan hantaran seorang penceramah bebas dari Syria yang didakwa berunsur fitnah dan bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).
Turut membuat laporan yang sama di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh, di sini, pukul 5 petang semalam ialah anggota Pusat Pembangunan Pondok Berhad, Jabhah Pondok Kelantan dan Persatuan Guru-Guru Pondok Negeri Kelantan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi PMPS, Ahmad Marzuki Mat Yusof berkata, 50 alim ulama dan guru-guru pondok yang bermesyuarat di Pusat Guru Pondok Kelantan sebulat suara membuat laporan polis terhadap penceramah berusia 41 itu adalah perlu agar beliau disiasat pihak berwajib.
Katanya, penceramah yang fasih bertutur loghat Kelantan dan Terengganu itu telah membuat kenyataaan fitnah kepada akidah ASWJ dengan mendakwa jemaah akidah Asyairah Maturidiyyah sedang berusaha mempengaruhi masyarakat dengan amalan syirik.
“Hantaran berbentuk rakaman video masih tersebar akaun Facebook penama Adi Ali selain mendakwa Imam Abu Hanifah mengejek hadis nabi, menghalalkan riba, menghalalkan zina dan menghalalkan kahwin tanpa wali atau saksi dalam akaun Facebook yang sama.
“Turut tukar ceramah rakaman klip videonya yang memfitnah Imam Al Hasan Al Ash’ari sebagai ‘Zindiq’ yang tidak bertaubat dan masih lagi muktazilah,” katanya ketika ditemui di luar pekarangan IPD Pasir Puteh, di sini semalam.
Hadir sama, Penasihat Pondok Kelantan, Sheikh Wazir Che Awang dan Pengerusi Persatuan Guru-Guru Pondok Kelantan, Wan Rosli Wan Ibrahim.
Tambah Ahmad Marzuki, penceramah berkenaan turut memfitnah Imam Abu Hanifah sebagai ‘Jahmiy,’ ahli bidaah dan sesat.
“Paling mendukacitakan penceramah itu mendakwa di zaman ini sudah tidak ada ulama sebenar, manakala mufti-mufti adalah penipu dan dajjal juga dalam akaun Facebook Adi Ali yang juga perlu disiasat.
“Banyak lagi klip video beliau yang tular di media sosial. Sebagai makluman, banyak Majlis Agama Islam Negeri telah menarik tauliah mengajar penceramah tersebut ekoran beberapa kenyataannya yang mengancam akidah umat Islam,” katanya.
Menurut Ahmad Marzuki, tindakan drastik perlu diambil untuk menghalang beliau menyebarkan ajaran yang bertentangan secara maya selepas tauliah mengajarnya ditarik balik di beberapa negeri. – UTUSAN










