BATU PAHAT: Perhatian Kerajaan Persekutuan dalam memperkukuh Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) bukan sekadar berkait dengan musim Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 sahaja sebaliknya merupakan pendekatan konsisten dalam agenda pembangunan sosioekonomi negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, memperkukuh sokongan kepada AIM yang dilakukan kerajaan adalah bagi memastikan bantuan dan pembiayaan sampai kepada golongan memerlukan, terutama masyarakat luar bandar yang sering berdepan risiko tercicir.
Katanya, AIM bukanlah langkah bersifat politik atau bertujuan memancing undi, sebaliknya merupakan dasar berterusan yang telah lama dibincangkan serta dimuktamadkan dalam agenda pembangunan negara.
“Kalau sebelum ini, pelbagai agensi telah diwujudkan bagi membantu masyarakat, namun sehingga kini masih terdapat keadaan apabila sebahagian bantuan gagal sampai kepada golongan sasaran di peringkat akar umbi.
“Kerajaan memutuskan untuk meningkatkan lagi sokongan kepada AIM di seluruh negara sebagai usaha memperluaskan manfaat program kepada lebih ramai penerima yang layak.
“Perhatian kerajaan terhadap AIM bukan sekadar berkait dengan musim Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke – 16 sahaja, sebaliknya merupakan dasar berterusan yang telah lama dibincangkan serta dimuktamadkan,” katanya sewaktu berucap pada majlis Kenduri Rakyat bersama PMX di Villa Kemboja, Semerah hari ini.
Beliau berkata, peruntukan disalurkan kepada AIM bukan sekadar menerusi perbelanjaan kerajaan, sebaliknya pelaburan sosial yang mampu mengangkat taraf hidup keluarga berpendapatan rendah secara berterusan.
Katanya, AIM wajar dibanggakan kerana muncul sebagai program pembiayaan mikro terbaik di dunia yang berjaya membantu golongan berpendapatan rendah membina kehidupan lebih baik.
“Kelebihan AIM ialah kadar pembiayaannya lebih munasabah berbanding beberapa program mikro kewangan antarabangsa yang mengenakan caj lebih tinggi kepada peminjam.
“Kerajaan akan terus memperkasa AIM sebagai antara agenda utama membantu rakyat dan berharap kerjasama yang baik di semua peringkat dapat mempercepat pelaksanaan pelbagai inisiatif demi manfaat masyarakat.
“Kerajaan akan terus menambah sokongan kepada AIM dari semasa ke semasa supaya lebih ramai rakyat mampu meningkatkan pendapatan serta menikmati peluang memperbaiki kehidupan khususnya yang berada di luar bandar,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar menekankan keperluan segera membaik pulih kemudahan rumah dan kuarters tentera yang didapati sudah lama tidak diselenggara.
“Saya telah minta senarai daripada Menteri Pertahanan, Mohamed Khaled Nordin kerana ada aduan bahawa terdapat kuarters yang terakhir dibaiki 30 tahun lalu, malah ada yang mencecah 40 tahun serta masih kekal sejak zaman sebelum merdeka,” katanya. – UTUSAN










