KUCHING: Sarawak komited menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan global ekonomi Islam dengan menyediakan produk dan perkhidmatan halal secara global.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, usaha itu bukan sahaja terhadap produk dan perkhidmatan halal, sebaliknya juga penyelesaian untuk menangani cabaran global seperti perubahan iklim dan keselamatan makanan.
“Kita sedang membangunkan satu ekosistem Sarawak untuk mengadaptasikan ekonomi yang menawarkan pelaburan dan peluang perniagaan yang luas untuk dunia.
“Dalam dunia yang bergelut dengan populasi yang semakin meningkat dan corak iklim yang berubah, amalan pertanian tradisional menghadapi cabaran yang belum pernah berlaku sebelum ini.
“Justeru, melalui inovasi dan komitmen Sarawak untuk memodenkan dan mengkomersialkan sektor pertanian melalui data dan inovasi untuk keselamatan makanan, selaras dengan aspirasi kami untuk menjadi pengeksport makanan bersih dan mencapai sara diri, kami memulakan pelbagai inisiatif strategik,” katanya.
Antara inisiatif itu, kata Abang Johari ialah Sarawak memulakan pembangunan hab halal, Zon Pengeluaran Makanan Kekal dan Agropark di kawasan utama untuk berfungsi sebagai hab bagi inovasi pertanian, menggabungkan teknologi termaju dan amalan mampan.
“Melalui pelaksanaan teknik pertanian tepat, kami juga menyasarkan untuk mengoptimumkan penggunaan sumber, meningkatkan produktiviti dan mengurangkan kesan alam sekitar.
“Dengan latar belakang cabaran ekonomi dan komitmen kami, dunia Islam tidak mempunyai pilihan selain menggunakan teknologi dalam mengejar kemajuan dan saya, oleh itu menggesa pemimpin dunia Islam untuk meneroka penggunaan teknologi dan menjadi pemain yang mampan,” tambahnya.
Bercakap lanjut terhadap usaha itu, kata Abang Johari, pembangunan modal insan dalam bidang pendidikan antara pelaburan yang besar diperuntukkan terutamanya Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan Pendidikan Teknikal, Vokasional dan Latihan (TVET) untuk memupuk bakat bagi memastikan tenaga kerja Sarawak bersedia untuk menangani cabaran masa hadapan.
“Tidak dinafikan Sarawak peka dengan keperluan pakar dalam industri teknologi makanan serta kemahiran tertentu yang lain.
“Oleh itu, kami memudahkan keperluan untuk mereka membawa pakar-pakar dari luar negara, terutamanya anak-anak Sarawak yang muda dan berbakat.
“Selain itu, kita mengakui bahawa industri tertentu memerlukan bakat dan kemahiran tertentu. Justeru, Sarawak mengalu-alukan perkongsian dengan institusi di seluruh dunia untuk membantu Sarawak membina tenaga kerja yang berdaya saing dan berbakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Makan Malam Gala sempena perasmian program Global Muslim Business Forum (GMBF) edisi kedua di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini malam ini.
Sehubungan itu, Abang Johari yakin melalui penganjuran forum berkenaan ia adalah bukti kuasa perpaduan, keusahawanan dan warisan meluas kepakaran perniagaan Muslim yang telah mempengaruhi ekonomi dan masyarakat di seluruh dunia selama berabad-abad.
“Forum ini menjadi platform penting dalam dunia kita yang saling berkaitan, di mana sempadan kabur dan peluang melangkaui sempadan.
“Ia pada masa yang sama menjadikan tempat di mana idea bertemu tindakan, di mana aspirasi dipupuk dan di mana perkongsian dijalin untuk berkongsi masa depan yang sejahtera,” katanya lagi.-UTUSAN