RM400,000 duit rakyat bazir tukar tapak Hospital Maran

RM400,000 duit rakyat bazir tukar tapak Hospital Maran

LOKASI di Kampung Teras Mukim Luit yang dicadangkan sebagai tapak baharu Hospital Maran menggantikan tapak sebelum ini di Batu 55, Jalan Maran-Jerantut. - UTUSAN/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN: Kira-kira RM400,000 duit rakyat akan dibazirkan apabila tapak Hospital Maran yang sebelum ini dipersetujui di Batu 55 Jalan Maran-Jerantut di sini diubah ke tapak baharu di daerah ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Dr. Ismail Abdul Muttalib berkata, kos itu mengambil kira beberapa siri mesyuarat, lawatan tapak, kerja awal tapak dan pelan struktur bangunan hospital.

Katanya, selain pembaziran duit rakyat, penukaran tapak ke Kampung Teras Mukim Luit di sini seluas 24 hektar melambatkan impian lebih 140,000 penduduk di situ untuk memiliki hospital daerah sendiri.

Beliau turut mempersoalkan penukaran tapak hospital itu kerana lokasi di Batu 55 Jalan Maran-Jerantut dipersetujui kerajaan negeri dan Pusat sebelum ini daripada enam tapak dicadangkan.

“Proses pelaksanaan tapak baru akan bermula dari kosong yang perlu melalui pelbagai prosedur panjang sebelum kerja-kerja pelaksanaan dimulakan oleh kontraktor yang dilantik,” katanya di sini semalam.

Ismail berkata, Hospital Maran merupakan hadiah daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang meluluskan RM150 juta pada 2018 bagi memenuhi hasrat penduduk memiliki hospital sendiri.

Tambah beliau, Menteri Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali semasa era Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menambah peruntukan kepada RM250 juta.

“Kosnya terus bertambah kepada RM350 juta yang diluluskan dalam Bajet 2023 oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

“Dalam Belanjawan 2023, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengekalkan peruntukan Hospital Maran berjumlah RM350 juta. Tetapi status hospital ini pada ketika ini terus menjadi tanda tanya dan ia melalui jalan berliku berikutan perubahan tampuk pemerintahan selepas PRU15,” katanya.

Menurutnya, beliau difahamkan kerajaan negeri sudah membuat permohonan projek Hospital Maran untuk diangkat ke Kementerian Kewangan bagi kelulusan pelaksanaan dalam Rolling Plan 1 Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

“Ini bermakna perjalanan projek Hospital Maran masih jauh dan berliku mendorong penduduk terus memburu Impian,” katanya.

Tegasnya, beliau selaku Ahli Parlimen Maran akan terus memperjuangkan di Dewan Rakyat supaya pembinaan hospital itu dapat direalisasikan dalam tempoh lima tahun ini.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN