BERLIN: Lebih 200,000 nyawa telah terkorban akibat ancaman cuaca panas yang digelar sebagai ‘pembunuh senyap’ di Eropah sejak 2022, menurut kenyataan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Khamis.
Amaran itu dikeluarkan selepas gelombang haba menyaksikan beberapa negara mencatatkan suhu tertinggi pernah direkodkan bagi bulan Mei.
“Kesan perubahan iklim merupakan bahaya yang jelas lagi nyata dan manifestasinya yang paling mendesak serta membawa maut ialah cuaca panas ekstrem,” kata Pengarah WHO bagi Rantau Eropah, Hans Henri Kluge.
“Cuaca panas adalah pembunuh senyap, namun ia bukan sesuatu yang tidak boleh dielakkan,” ujar Kluge ketika melancarkan garis panduan baharu bagi melindungi nyawa daripada ancaman cuaca panas melampau di Berlin, Jerman.
Cuaca panas ekstrem dilaporkan memberi kesan teruk terutamanya kepada golongan warga emas, kanak-kanak kecil dan individu yang menghidap penyakit jantung, buah pinggang dan penyakit-penyakit lain.
Keadaan ini boleh menyebabkan dehidrasi, strok haba selain memburukkan lagi penyakit sedia ada yang dihidapi pesakit.
Kluge menegaskan bahawa sebahagian besar daripada 200,000 kes kematian tersebut boleh dicegah sepenuhnya. Beliau turut menyifatkan angka berkenaan hanyalah puncak bongkah ais, dengan jutaan lagi penduduk terkesan dari segi fizikal dan mental.
Para saintis menjelaskan bahawa perubahan iklim yang didorong oleh aktiviti manusia kini memburukkan lagi keadaan cuaca ekstrem.
Fenomena cuaca seperti gelombang haba, kemarau dan banjir kini menjadi semakin sengit serta kerap berlaku.
Menurut Kluge, benua Eropah kini sedang mengalami pemanasan yang lebih pantas berbanding benua-benua lain di dunia. – AFP










