RM100j diperuntuk laksana kerja kecemasan luar jangka - Utusan Malaysia

RM100j diperuntuk laksana kerja kecemasan luar jangka

NIK NAZMI NIK AHMAD (dua,kiri) ketika melawat projek RTB Taman Siakap, Seberang Jaya, Pulau Pinang hari ini. Pix SITI NUR MAS ERAH AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUTTERWORTH: Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) memperuntukkan RM100 juta bagi memastikan kelancaran persediaan menghadapi fasa Monsun Timur Laut 2023/2024 yang dijangka bermula pada Sabtu ini dan berterusan sehingga Mac tahun depan.

Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, agihan peruntukan bagi kerja-kerja kecemasan luar jangka itu telah disalurkan menerusi tiga fasa kepada 13 negeri dan tiga wilayah seluruh negara.

Katanya, daripada jumlah itu, Sarawak menerima peruntukan tertinggi iaitu RM16.5 juta manakala Pulau Pinang menerima RM5 juta menerusi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri yang akan menjalankan kerja penyelenggaran terbabit.

“Kerja-kerja kecemasan luar jangka ini meliputi pemulihan sistem saliran, perparitan, memulihkan jalan dan jambatan serta struktur kawalan banjir.

“Keperluan setiap negeri juga berbeza dan baru-baru ini saya berkesempatan melawat beberapa negeri antaranya Negeri Sembilan dan Selangor untuk melihat sendiri persediaan agensi terlibat untuk menghadapi banjir.

“Selain itu, kelengkapan tambahan seperti pam bergerak turut disediakan bagi mempercepatkan aliran air banjir sekali gus mengurangkan kedalaman banjir,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Projek Rancangan Tebatan Banjir ( RTB) Taman Siakap, Seberang Jaya, di sini hari ini.

Yang hadir sama, Ketua Setiausaha NRECC, Dr. Ching Thoo Kim dan Pengarah JPS negeri, Ir. Mohd. Nazri Yasmin.

Dalam perkembangan lain, Nik Nazmi berkata, Kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan berjumlah RM20 juta dalam Rolling Plant Pertama Rancangan Malaysia Ke-12 untuk melaksanakan RTB Taman Siakap dalam usaha mengurangkan risiko kejadian banjir di kawasan terbabit.

“Komponen utama projek adalah kerja menaik taraf dua buah rumah pam, pembinaan ‘flood wall’, menaik taraf pembentung Lebuhraya Kurau kepada jambatan serta kerja-kerja berkaitan.

“Projek ini telah bermula pada 21 Ogos 2023 dan dijangka siap pada 20 Ogos 2025,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya