IPOH: Raja berperlembagaan bukan sekadar pelengkap berbentuk hiasan untuk memenuhi adat negara beraja dan rakyat bersultan.
Khutbah Jumaat yang dibacakan di masjid-masjid di negeri ini hari ini sempena sambutan ulang tahun Hari Peputeraan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menjelaskan, institusi raja berperlembagaan terbukti mempunyai roh dan peranan sebagai penimbang tara terakhir, pada waktu-waktu negara menghadapi krisis, persengketaan, ancaman dan keadaan ketidaktentuan.
Dalam khutbah bertajuk ‘Peranan dan Tanggungjawab Raja Pemerintah’ yang dibacakan, institusi raja berperlembagaan peranan sebagai penimbang tara terakhir semasa seperti bencana, malapetaka, darurat, peristiwa perselisihan kaum 13 Mei, wabak penyakit dan persengketaan politik.
“Takhta pemerintahan telah berperanan sebagai pengimbang, menitahkan kata nasihat yang membantu merungkai kekusutan dan menzahirkan arah panduan yang membantu mengatasi kebuntuan.
“Melalui hikmah raja pemerintah, suhu konflik dapat diturunkan, keresahan rakyat dapat ditenangkan dan jentera kerajaan dapat kembali berfungsi seperti biasa,” jelas khutbah yang dibacakan.
Dalam khutbah dijelaskan institusi raja berperlembagaan diperkenalkan ketika Persekutuan Tanah Melayu dimasyhurkan sebagai sebuah negara merdeka yang berdaulat pada 31 Ogos 1957.
Kuasa mutlak pemerintahan beraja dan kedaulatan raja diberikan wajah baharu, dirangkaikan dengan suara rakyat dalam satu ikatan harmoni, dengan diperkenalkan sistem berkerajaan dan bernegara, berkonsepkan doktrin raja berperlembagaan, demokrasi berparlimen.
“Institusi raja berperlembagaan baru berusia 66 tahun. Walaupun usianya masih muda, institusi raja berperlembagaan telah memperlihatkan sifat matang, membuktikan hikmah, arif menggunakan budi bicara, bijaksana menitahkan kata putus, berupaya dan bertenaga menangani pelbagai persoalan dan masalah negara,” jelas khutbah tersebut.
Khutbah yang dibacakan menjelaskan Islam tidak dapat dipisahkan daripada Raja Melayu, termaktub dalam Perkara 3(i) Perlembagaan Persekutuan, agama Islam ialah agama Persekutuan dan Perkara 3(ii) Perlembagaan Persekutuan menetapkan Raja sebagai ketua agama Islam negeri.
Islam menyuntik dimensi baharu kepada tatacara pemerintahan Raja Melayu, beralih daripada pemerintahan berpaksikan pertimbangan peribadi seorang manusia kepada pemerintahan berpaksikan hukum, kerana raja juga tidak boleh mengingkari tuntutan syarak.
“Kemuliaan raja dinilai dari sudut amal makruf menyempurnakan tanggungjawab, lantas menginsafkan raja bahawa kuasa pemerintahan ialah amanah Ilahi yang sama sekali tidak boleh disalahgunakan, dan krisis akan berlaku apabila raja memerintah dengan nafsu,” jelas khutbah yang dibacakan. – UTUSAN










