Polis rampas 226.6kg, 2,158 liter pelbagai jenis dadah - Utusan Malaysia

Polis rampas 226.6kg, 2,158 liter pelbagai jenis dadah

MAZLI Mazlan (dua, kiri) menunjukkan barang kes yang akan dilupuskan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Terengganu di IPK Terengganu, Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Polis Terengganu berjaya merampas lebih 226.6 kilogram (kg) dan 2,158 liter dadah pelbagai jenis melalui operasi besar-besaran sejak Januari hingga Oktober tahun ini.

Ketua Polis negeri, Datuk Mazli Mazlan berkata, dadah paling banyak dirampas adalah jenis daun ketum sebanyak 186.8kg, diikuti pil yaba (25.6kg), ganja (9kg), syabu (2.4kg), heroin (2.1kg) dan air ketum (2,085 liter).

Menurut beliau, daripada jumlah tersebut, 739 kertas siasatan telah dibuka dengan 95 peratus dituduh di mahkamah di bawah kategori bekalan iaitu Seksyen 39B, 39(a)(2) dan 39(a)(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Selain itu, katanya, sebanyak 94 peratus daripada 1,598 kes membabitkan ‘pusher’ atau ejen pengedar dadah turut didakwa di mahkamah di bawah kategori permintaan iaitu Seksyen 12(2) dan Seksyen 6 akta yang sama.

“Dalam tempoh sama juga, seramai 838 penagih tegar dihukum di bawah Seksyen 39C akta sama iaitu kesalahan berulang yang memperuntukkan penalti lebih berat penjara dan sebat.

“Sebelum ini negara menghadapi masalah membanteras dadah tradisional berasaskan candu seperti heroin, morfin dan ganja namun kini muncul dadah sintetik seperti pil yaba, syabu dan eramin.

“Hukuman berat bagi kesalahan berulang lebih praktikal kerana penagih tegar tidak akan berhenti mengambil dadah walaupun telah dihukum di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Barang Kes Narkotik Bagi Program Pelupusan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Terengganu di sini, hari ini.

Pada program itu, hampir 95kg dadah pelbagai jenis bernilai RM6.2 juta diserahkan kepada syarikat berdaftar di bawah Jabatan Kualiti Alam Sekitar, Kualiti Alam Sdn. Bhd. untuk dilupuskan.

Tambah Mazli, kesemua barang berkenaan membabitkan 3,557 kes sejak 1996 yang telah mendapat perintah mahkamah untuk dilupuskan mengikut Perintah Tetap Ketua Polis Negara D207.

“Pelupusan ini perlu dibuat secara teratur bagi memastikan tiada barang kes yang disalahguna atau kembali semula ke jalanan di tangan penagih-penagih muda dan tegar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya