Pengedar, sindiket dadah di Felda kebal?

Pengedar, sindiket dadah di Felda kebal?

Utusan Malaysia 18 Mei 2026
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Pengedar malah sindiket dadah di kawasan tanah rancangan Felda didakwa kebal daripada tindakan undang-undang sehinggakan kegiatan mereka berleluasa tanpa sekatan.

Malah ada dakwaan mengatakan ketika sekatan perjalanan ekoran penularan wabak pandemik Covid-19, bekalan bahan terlarang itu tetap ada dan mudah diperoleh di kawasan tanah rancangan.

Menurut sumber, penjualan dadah di kawasan tanah rancangan didakwa berleluasa kerana dilindungi pihak tertentu yang menjadikan Felda ‘port’ menjual bahan terlarang tersebut.

“Statistik Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menunjukkan 31.32 peratus atau 1,317 orang daripada 4,204 penagih direkodkan sehingga Julai 2025 di Pahang berasal dari kawasan tanah rancangan Felda, dengan semua jenis dadah termasuk ganja, ketum, heroin, morfin dan syabu mudah diperoleh dan ada di Felda.

“Situasi ini menimbulkan persepsi bahawa pengedar seolah-olah tidak tersentuh oleh undang-undang,” dakwa sumber itu kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Menurut sumber itu, fenomena berkenaan tidak hanya tentang isu pengedaran tetapi krisis sosial berakar umbi yang menjejaskan imej Felda sebagai simbol pembangunan bangsa.

“Pihak berkuasa kini berdepan cabaran besar untuk memutuskan kitaran penagihan yang diwarisi turun-temurun, lebih-lebih lagi apabila wujud dakwaan perlindungan daripada pihak berkuasa sendiri,” dakwanya.

Sementara itu, Presiden Majlis Lembaga Pelawat AADK Malaysia, Datuk Abdullah Abu Bakar berkata, Felda kini tidak lagi menjadi kawasan terkawal seperti mana ketika penubuhannya.

“Dahulu, pihak Felda dan komuniti setempat sepakat mengawal rancangan masing-masing, kini kawasan itu terbuka tanpa ada kawalan sama ada daripada segi kemasukan unsur tidak sihat dan aktiviti penyalahgunaan dadah.

“Kawalan keselamatan juga tidak ada pada ketika ini, yang mana sebelum ini ada polis bantuan Felda tapi kini ditarik balik tanpa alasan. Difahamkan ada kaitan dengan kos,” katanya.

Beliau yang juga Presiden Alumni Majlis Belia Felda Malaysia (AMBFM) sehubungan itu mencadangkan pihak berwajib supaya mewujudkan kembali polis bantuan Felda.

“Selain itu, perlu tambahan kakitangan atau petugas Felda khususnya pegawai khas yang bertanggungjawab tentang dadah, tugasnya tentang dadah atau yang berkaitan dadah.

“Seterusnya, peranan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) boleh dipertingkatkan khususnya peranan Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM), Kami Anak Felda (KAF) dan Gerakan Persatuan Wanita (GPW).

“Dalam hal ini, mereka perlu didedahkan dengan ilmu tentang dadah terkini dan diberikan peruntukan khas untuk melakukan aktiviti bersama pihak kerajaan dan lain-lain agensi berkaitan dadah,” katanya.

Sementara itu katanya, komuniti Felda memainkan peranan penting dalam melindungi generasi muda daripada terjebak dengan dadah.

“Peranan komuniti banyak bergantung dengan budaya ambil tahu tentang masyarakat sekeliling terutama jiran tetangga.

“Ketika ini, banyak yang tidak ambil kisah kerana mereka kurang pendedahan tentang dadah moden dan juga tidak mahu mencampuri hal yang berlaku terhadap jiran, pendek kata tidak mahu ‘bermasam muka dgn jiran’,” ujarnya.

Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan, ada keluarga di kawasan tanah rancangan Felda sanggup memperuntukkan hasil satu petak sawit kira-kira RM400 sebulan untuk menampung keperluan ketagihan dadah anak-anak mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN