PETALING JAYA: Kematian seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun di sebuah hotel mewah di ibu negara membawa kepada penahanan lapan individu termasuk warga asing yang dipercayai terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chan Hook, berkata, kejadian itu terbongkar selepas pihaknya menerima laporan kematian mangsa di Jabatan Kecemasan Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang dibawa dari hotel di Jalan Stesen Sentral.
Katanya, siasatan awal mendapati mangsa itu tidak sedarkan diri sebelum dibawa turun oleh rakannya dari bilik hotel sekitar pukul 3.10 pagi dan dihantar ke HKL untuk rawatan.
“Bedah siasat ke atas mangsa dijalankan pada pukul 9.30 pagi dan keputusan makmal masih ditunggu, manakala kes ketika ini diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Chan Hook, melalui maklumat yang diperoleh, sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPD Brickfields telah bertindak menyerbu bilik hotel berkenaan kira-kira pukul 4 pagi tadi.
Katanya, hasil serbuan itu telah membawa kepada penahanan dua warga tempatan dan enam warga asing iaitu dua dari Singapura serta masing-masing seorang dari Hong Kong, Vietnam, Indonesia dan China.
“Melalui penahanan tersebut pihak polis berjaya merampas satu paket plastik lutsinar mengandungi dadah disyaki ketamin seberat 1.5 gram serta tiga pil disyaki ekstasi seberat 0.7 gram dengan nilai keseluruhan berjumlah RM225.
“Kesemua individu terbabit telah direman selama tiga hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – UTUSAN










