IPOH: Polis merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM55,061.70 selepas menahan 486 individu menerusi Op Tapis Khas di seluruh negeri sejak Isnin hingga kelmarin
Operasi selama tiga hari itu dijalankan 283 pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perak bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) daerah.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, tangkapan melibatkan suspek berusia antara 16 hingga 67 tahun termasuk sembilan warga asing dari Thailand, Indonesia, Myanmar, Kemboja dan Laos.
Katanya, 23 sarang penagihan dadah diserbu dalam operasi itu termasuk di kawasan Felda, Felcra, Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), Program Perumahan Rakyat (PPR) dan kawasan perumahan serta nelayan.
“Dalam operasi itu, kita turut merampas 235.67 gram heroin, 234.20 gram syabu, 48.71 gram ganja, 10 kilogram daun ketum, 32.45 liter cecair ketum dan 30 pil erimin 5.
“Selain itu, sebuah kereta dan tiga buah motosikal turut disita bersama wang tunai berjumlah RM22,500,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.
Menurut beliau, daripada keseluruhan tangkapan yang dilakukan, seramai 78 orang ditahan di bawah kesalahan pengedaran dadah, 177 individu memiliki dadah dan 216 individu disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.
“Selain itu, seramai 15 individu yang dikategorikan sebagai orang dikehendaki turut ditangkap manakala 21 suspek pula dikenal pasti penagih dadah tegar akan diambil tindakan di bawah Seksyen 39C akta sama,” katanya. – UTUSAN










