PM kecam pemimpin dunia tidak berani sebut gencatan senjata

PM kecam pemimpin dunia tidak berani sebut gencatan senjata

Anwar Ibrahim berucap dalam Majlis Perhimpunan Bersama Warga Kementerian Kewangan di Putrajaya semalam. -UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelar tindakan segelintir pemimpin dunia yang kononnya berbicara mengenai hak asasi dan demokrasi, namun tidak mampu menegaskan usaha gencatan senjata di Gaza.

Malah Perdana Menteri menyifatkan itu sebagai satu ‘kerja gila’ kerana hanya mampu menyatakan humanitarian pause yang boleh difahami sebagai berhenti sekejap daripada serangan sementara bantuan disalurkan dan kemudiannya boleh menjatuhkan bom semula.

Beliau berkata, ini bermakna pemimpin terlibat tidak bersetuju melaksanakan gencatan senjata yang boleh diterjemahkan dalam bahasa diplomasi.

“Tengok pemimpin kononnya berbicara mengenai hak asasi dan demokrasi, mahu sebut ceasefire pun tidak boleh. Dia juga kata humanitarian pause di mana dalam bahasa diplomasi maknanya mereka tidak mahu gencatan senjata.

“Mereka tidak mahu genjatan senjata kerana dia mahu teruskan tindakan itu (kekejaman). Humanitarian pause maknanya, berhenti sekejap dan selepas ini bom kembali, ini kerja gila,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perjumpaan Bersama Warga Kementerian Kewangan di sini semalam.

Dalam pada itu, Anwar menggesa semua pihak khususnya parti-parti politik untuk bersatu bersama dalam isu Gaza serta mencari penyelesaian terbaik membantu rakyat Palestin.

“Saya tengok polemik parti dan golongan ekstrem melampau (isu Gaza), jadi sudahlah. Kita pakat bersama kerana orang dibunuh, anak kecil mati. Fikirlah bersama bagaimana mahu bantu (Palestin).

“(Contohnya saya) hubungi syarikat besar lain, cari jalan tambah peruntukan yang melebihi RM100 juta yang kita kirimkan. Pastikan juga kiriman itu menerusi badan dipercayai dan janganlah kita bina mahligai atas pusara orang lain.

“Maknanya patut ada kesedihan dan doa, dan bukannya mendirikan mahligai atas pusara orang lain seperti mencari markah politik, itu menyedihkan,” tegasnya.

Sementara itu, Anwar berkata, media Malaysia harus sensitif dengan pelaporan yang menggunakan perkataan militan terhadap pejuang Hamas, seperti yang digunakan oleh media-media Barat.

Perdana Menteri berkata, beliau bersetuju bahawa pihak editorial harus diambil tindakan melalui teguran supaya menggunakan terma sesuai untuk pejuang Palestin itu.

“Saya setuju harus ada kesedaran ini supaya semua media (Malaysia) faham akan kegelisahan dan sensitiviti rakyat dan mengiktiraf hak rakyat Palestin.

“Sebab itu dalam jawapan sebelum ini, saya sengaja mengaitkan tentang kedudukan orang Kristian yang menjadi mangsa keganasan Yahudi supaya orang Malaysia tahu sama ada orang Islam atau bukan Islam sedar isu ini adalah kemanusiaan dan kezaliman yang dilakukan Israel.

“Saya selalu ungkapkan rampasan kuasa, tanah, harta dan maruah ini terus diperkosa dan dihina. Jadi, ada hak untuk bangkit,” katanya semasa Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau menjawab soalan tambahan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal [PN-Machang] yang meminta pandangan Perdana Menteri menegur media Malaysia atas pelaporan salah yang menggambarkan pejuang Hamas dengan gelaran militan, yang didakwa banyak diguna dalam media bahasa Mandarin dan bahasa Inggeris di negara ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN