MERSING: Percutian seorang remaja bersama keluarganya di Pantai Air Papan, Mersing di sini bertukar tragedi selepas meninggal dunia akibat lemas.
Ketua Polis Daerah Mersing, Superintenden Abdul Razak Abdullah Sani ketika dihubungi mengesahkan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Mersing menerima satu laporan berkaitan kes lemas libatkan mangsa merupakan seorang lelaki warga tempatan.
Katanya, mangsa, Mohamad Yasin Abdul Jaleel, 18, berasal dari Kluang ditemukan orang awam kira-kira pukul 1 petang tadi.
“Menurut saksi, mangsa ditemukan terdampar di tepi pantai sebelum diberi bantuan oleh orang awam yang berada di lokasi kejadian.
“Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Mersing untuk rawatan namun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, hasil siasatan mendapati tiada unsur-unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). – UTUSAN










