PETALING JAYA: “ Dunia seni Malaysia ini tidaklah besar mana. Balik-balik, akan jumpa juga. Ada banyak lagi perkara yang lebih baik kita boleh bicarakan. Janganlah memanaskan isu tak tidak ada.”
Demikian jawapan biduanita negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza ketika ditanya berhubung beberapa ciapan yang menyenarai beberapa kisah perang dingin yang didakwa dilalui penyanyi bersuara emas itu.
Jelasnya isu berkaitan perang dingin, takhta penyanyi nombor satu dan perbalahan peminat tidak seharusnya digembar-gemburkan terutama ketika semua artis sedang berhempas pulas memberikan yang terbaik.
“Dunia sekarang sudah cukup tertekan, jangan tambah tekanan itu lagi. Berdamailah, cantikkan industri seni kita dengan perkara yang baik-baik. Bukan kita hidup lama pun, esok lusa mungkin sudah tida.
“Saya sendiri tidak suka usik atau kecilkan hari sesiapa. Nak imbau-imbau perkara yang tidak benar dan wujud. Ada perkara yang tak perlu pun kita sentuh dan ulas. Natijahnya nanti, lebih besar.
“Artis semua rilek sahaja buat kerja masing-masing. Janganlah mewujudkan sesuatu yang tidak wajar. Kami penat, nak beri yang terbaik untuk anda semua. Janganlah sibuk laga-lagakan sesiapa,” ujarnya.
Dalam pada itu, mengulas tentang perebutan takhta penyanyi nombor satu negara, penyanyi Cindai itu menjelaskan nombor dan kedudukan bukan perkara penting tetapi niat untuk menghibur dan menggembirakan peminat.
“Nombor semua itu bukan ukuran, saya bukan masuk pertandingan lumba lari. Tak pernah terfikir pun sejak awal masuk industri seni, nak jadi nombor satu. Tak pernah ada dalam kamus seni saya.
“Saya cuma berkongsi bakat yang ada. Menggembirakan orang, mengiburkan mereka. Itu pun sudah beri saya kepuasan. Tak letak pun nombor berapa dalam fikiran. Peminat saya pun jangan sentuh isu ini.
“Kita patut menghargai sesama artis. Mengharmonikan industri seni kita dengan kejayaan yang baik-baik,” ujarnya yang berulang kali meminta agar tidak lagi dilabel sebagai penyanyi nombor satu negara.