BAGAN DATUK: Kerajaan Perak akan memastikan sebarang kenaikan tarif air di negeri ini tidak akan membebankan pengguna walaupun kadarnya tidak pernah dinaikkan sejak kira-kira 30 tahun lalu.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad, bagaimanapun menjelaskan sehingga kini kerajaan negeri belum membuat ketetapan mengenai jumlah kenaikan yang akan dikenakan nanti.
“Kita tiada keputusan muktamad lagi tetapi dalam mesyuarat Exco kerajaan negeri semalam ada taklimat daripada kementerian berkaitan mengenai dasar air negara dan memang ada disebutkan akan ada semakan semula untuk seluruh Malaysia.
“Tetapi di Perak kita tidak buat ketetapan sebab (tarif) di antara negeri ini berbeza, jadi kerajaan negeri akan membuat kajian terlebih dahulu untuk melihat berapa kadar kenaikan itu,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Laman Perak Sejahtera di Taman Agro Teknologi Mardi Bagan Datuk di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas laporan muka depan Utusan Malaysia hari ini mengenai kadar air domestik di semua negeri akan disemak awal tahun depan selepas ada negeri tidak pernah berbuat demikian dalam tempoh 40 tahun.
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, semakan tersebut dijangka menyaksikan kenaikan tarif bagi menampung kos operasi yang tidak lagi mampu ditanggung oleh operator yang menguruskan bekalan air di negeri-negeri.
Menurut Saarani, memang terdapat keperluan untuk menaikkan kadar tarif air di Perak kerana sudah tidak disemak sejak kira-kira 30 tahun lalu.
Beliau menjelaskan kerajaan negeri akan berlaku adil kepada kedua-dua pihak iaitu pengguna dan pihak operator iaitu Lembaga Air Perak (LAP) dalam menentukan kadar baharu tarif air.
Katanya, ia kerana LAP memerlukan wang untuk penyelenggaraan, menguruskan air dan sebagainya dan dalam masa sama akan memastikan ia tidak membebankan rakyat.
“Jadi, kita akan cuba sedaya upaya untuk berlaku adil kepada kedua-dua pihak,” ujarnya.
Ketika ini, tarif air untuk penggunaan domestik bagi individu di Perak ialah 30 sen bagi penggunaan sehingga 10 meter padu, 70 sen (11 hingga 20 meter padu) dan RM1.03 bagi penggunaan lebih 20 meter padu. – UTUSAN










