Peniaga tetap cekal walaupun produk pomade kurang sambutan

Peniaga tetap cekal walaupun produk pomade kurang sambutan

MOHAMMAD Faiz Roslan (kiri) bersama seorang pelanggan ketika ditemui Utusan Malaysia di Taman Semarak, Nilai, Seremban semalam. - UTUSAN/NUR SHARIEZA ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Walaupun sambutan terhadap produk pomade yang dijualnya tidak memberangsangkan berbanding sebelum ini, namun ia tidak mematahkan semangat Mohammad Faiz Roslan, 31, untuk kekal dalam bidang perniagaan.

Ujarnya, walaupun pernah terasa berputus asa namun dirinya tetap cekal kerana mempercayai setiap perniagaan ada pasang dan surutnya.

“Produk barangan dan fesyen lelaki di bawah jenama Drivethru Pomade yang diniaga kini tidak mendapat sambutan, tidak seperti mana semasa mula-mula saya berniaga pada tahun 2017.

“Dahulu orang ramai suka membeli tetapi sekarang ini saya perhatikan ramai yang mengambil pendekatan berjimat-cermat. Untuk kekal dalam perniagaan ini, saya perlu berfikir diluar kotak bagaimana untuk menarik pelanggan untuk membeli barangan.

“Di tambah pula, persaingan di luar yang semakin ramai jadi saya tidak hanya tertumpu kepada jualan pomade, tetapi juga turut menjual topi, jam dan minyak wangi,” katanya ketika ditemui di Taman Semarak, Nilai di sini.

Mohammad Faiz memberitahu, dia bermula sebagai ejen produk pomade tersebut dan kemudiannya menjadi stokis dan seterusnya pernah dinobat sebagai penjual tertinggi pada tahun 2018.

“Produk pomade ini menjadi kegilaan ramai sehinggalah saya mampu membuka kedai di dalam sebuah pasar raya di Nilai.

“Waktu itu memang seronok sangat, dalam sebulan boleh untung RM2 500. Kemudian waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) saya mula menjual barangan secara dalam talian dan sebulan saya boleh raih sekitar RM4,000.

“Bagaimanapun, selepas tahun 2021 sehingga kini jualan makin menurun, namun pelanggan tetap ada tetapi boleh nampak penurunannya (jualan),” katanya.

Bapa kepada seorang anak itu dalam pada itu berkata, dia perlu segera bangkit daripada cabaran yang dihadapinya ketika ini.

“Saya kini meneruskan usaha untuk meneroka ruang pasaran di media-media sosial selain mewujudkan pasukan yang baik sebagai langkah pemasaran demi kelangsungan jenama produk pomade itu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN