KLUANG: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima hampir 600 laporan berhubung kesalahan pilihan raya sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, sebanyak 588 laporan kesalahan pilihan raya diterima setakat hari ke-11 tempoh berkempen.
Menurut beliau, pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut menerima laporan berkaitan salah laku sepanjang kempen berlangsung.
“Sehingga ke hari ini, sebanyak 588 kesalahan pilihan raya telah pun dilaporkan kepada SPR dan 44 laporan polis telah pun dilaporkan serta ada tiga laporan SPRM,” katanya dalam sidang akhbar di perkarangan Dewan Mahkota, Kem Mahkota, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Ramlan berkata, seramai 20,670 pemilih layak mengundi pada pengundian awal hari ini.
Jumlah itu melibatkan 12,063 anggota polis dan pasangan, 4,544 anggota tentera serta pasangan, manakala selebihnya merupakan pengundi pos.
Beliau berkata, sebanyak 64 pusat pengundian awal dibuka di seluruh Johor bermula pukul 8 pagi tadi.
“Sebanyak 64 pusat mengundi awal sudah dibuka di seluruh Johor yang telah dibuka di pada pukul 8 pagi tadi dan terdapat beberapa kategori di mana, sebanyak 29 pusat mengundi telah ditutup pada 12 tengah hari tadi, lima pada pukul dua dan 28 lagi akan ditutup pada pukul lima.
“Insya-Allah undi awal ini akan dikira pada hari mengundi sebenar iaitu pada 11 Julai ini, waktu pengiraan akan bermula pada sekitar lima petang,” katanya.
Tambahnya, peratusan keluar mengundi awal setakat pukul 1 petang telah mencapai 82 peratus.
“Kalau ikut pencapaian-pencapaian kita sebelum ini, undi awal ini boleh mencapai sehingga 96 peratus dan kami mengekalkan jumlah itu sebagai sasaran,” katanya. – UTUSAN










