KOTA TINGGI: Agenda mempertahankan negara akan berjalan lancar sekiranya situasi dalam negara aman dan stabil.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, beliau yakin 12,000 anggota tentera yang terlibat dalam pengundian awal di beberapa kem di Johor telah memilih sebuah kerajaan yang mampu menguruskan negara.
Katanya, antara kem terlibat dalam proses pengundian awal Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 adalah Kem Iskandar Mersing, Kem Mahkota Kluang, Kem Segamat, Kem Batu Pahat, Kem Pengerang, Kem Senibong dan Kem Tebrau.
“Saya percaya anggota-anggota tentera utamanya memahami tanggungjawab mereka. Dan saya percaya juga dalam mereka melaksanakan tanggungjawab, pastinya antara perkara yang mereka beri keutamaan adalah soal sumbangan mereka untuk kestabilan.
“Kerana kalau tak ada kestabilan, ia boleh mengganggu mereka menjalankan tugas sebagai anggota tentera yang mempertahankan negara,” katanya ketika ditemui selepas meninjau perkembangan projek madu kelulut Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Sedili Kecil di sini, hari ini.
Sebanyak 64 pusat mengundi dibuka serentak pada 8 pagi tadi bagi membolehkan 20,607 pengundi awal berdaftar menjalankan amanah mereka hari ini.
Semua pusat mengundi ditutup secara berperingkat antara pukul 12 tengah hari hingga 6 petang ini, bergantung kepada lokasi dan jumlah pemilih berdaftar.
PRN Johor Ke-16 menyaksikan 172 calon merebut 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan 2.7 juta pemilih pada Sabtu ini.
Mohamed Khaled yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi berkata, kegagalan mengekalkan kestabilan dibimbangi menjejaskan fokus serta tugas hakiki pasukan keselamatan dalam mempertahankan kedaulatan tanah air.
“Kalau kata lah negara itu sendiri tak stabil, ia boleh mengganggu tugas-tugas mereka dalam mempertahankan negara,” katanya. – UTUSAN









