Sokongan masyarakat India kepada PH makin kukuh

Sokongan masyarakat India kepada PH makin kukuh

R. RAMANAN bersama Siew Fook ketika menyerahkan bantuan rumah ibadat tahun 2026 pada Majlis Perasmian Program Celik Madani 2026 dan Dharma Madani Zon Selatan di Seremban hari ini.- UTUSAN/NOR SHAFIQAH MOHD GHAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sokongan masyarakat India terhadap Pakatan Harapan (PH) di Johor kukuh khususnya menjelang proses pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Sabtu nanti.

Naib Presiden PKR, Datuk Seri R. Ramanan berkata, keyakinan masyarakat India terhadap setiap inisiatif dan bantuan ditawarkan kerajaan kepada mereka adalah tinggi malah ia dapat dilihat menerusi sambutan diterima pada setiap program melibatkan komuniti itu.

Menurutnya, pelbagai dasar dan bantuan yang dilaksanakan Kerajaan Madani memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat India sekali gus meningkatkan keyakinan mereka terhadap kerajaan.

“Sokongan masyarakat India memang tidak boleh dipertikaikan. Kalau kita lihat setiap program yang kita anjurkan, sambutannya sentiasa penuh dan padat.

“Kita boleh lihat komuniti India memang tegas dan terus berdiri di belakang PH,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Celik Madani 2026 dan Dharma Madani Zon Selatan di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

Menteri Sumber Manusia itu berkata, komitmen kerajaan terhadap pembangunan masyarakat India turut dibuktikan menerusi penggunaan sepenuhnya peruntukan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra).

Katanya, buat pertama kali dalam tempoh 19 tahun, keseluruhan peruntukan Mitra berjaya dimanfaatkan sepenuhnya selama tiga tahun berturut-turut sekali gus membolehkan kerajaan meluluskan tambahan peruntukan kepada RM150 juta.

“Selama 19 tahun, peruntukan itu tidak pernah digunakan sepenuhnya dan ada yang dipulangkan semula kepada kerajaan.

“Namun di bawah Kerajaan Madani, peruntukan itu digunakan sepenuhnya selama tiga tahun berturut-turut. Sebab itu Perdana Menteri meluluskan tambahan peruntukan sebanyak 50 peratus kepada RM150 juta,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama erat antara kementerian turut membolehkan lebih banyak inisiatif dilaksanakan merangkumi pelbagai kelompok termasuk kanak-kanak, pelajar, warga emas dan orang kurang upaya (OKU).

Sementara itu, pada majlis itu, beliau menyempurnakan penyerahan surat kelulusan Program Bantuan Subsidi Pendidikan Awal Celik Madani 2026 yang melibatkan peruntukan sebanyak RM10 juta.

Ia bagi membantu kanak-kanak India berusia empat hingga enam tahun daripada keluarga berpendapatan 40 peratus terendah (B40) mendapatkan akses kepada pendidikan awal yang berkualiti.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM8.87 juta telah diluluskan melibatkan 162 tadika swasta di seluruh negara, sekali gus memberi manfaat kepada 3,612 kanak-kanak India. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN