Peniaga di Hatyai raih keuntungan besar

Peniaga di Hatyai raih keuntungan besar

KEDAI dan gerai-gerai makanan padat dengan pelancong khususnya dari Malaysia sekali gus membawa pulangan lumayan kepada para peniaga di Hatyai, Thailand, semalam.-UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HATYAI, THAILAND: Kehadiran rakyat Malaysia yang memenuhi Hatyai khususnya pada cuti hujung minggu dan perayaan memberi limpahan rezeki kepada peniaga di lokasi pelancongan berkenaan yang mampu meraih pendapatan sehingga RM3,000 atau 23,000 Baht sehari.

Kebanyakan pelancong yang berkunjung ke Hatyai terdiri daripada lebih 70 peratus rakyat Malaysia malah jumlah tersebut terus bertambah sempena cuti sempena Deepavali bermula Jumaat sehingga Isnin.

Pemerhatian Utusan Malaysia mendapati kedai makan dan gerai-gerai tepi jalan dipenuhi pelancong sehingga membuatkan para peniaga tidak menang tangan melayan pelanggan.

Pusat-pusat beli belah juga padat dengan pelancongan yang membeli pelbagai barangan yang ditawarkan dengan harga berpatutan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang peniaga gerai makanan di sekitar Plaza Lee Garden, Suwaibah Zakaria, 25, berkata, dia yang menjual aiskrim kelapa mampu meraih pendapatan antara RM1,500 sehingga RM3,000 sehari khususnya pada musim cuti.

Katanya, kebanyakan pelanggannya terdiri daripada rakyat Malaysia yang bercuti di sini dan ingin mencuba makanan halal yang ditawarkan kepada mereka.

Katanya, kebiasaannya rakyat Malaysia akan mula membanjiri bandar Hatyai khususnya sekitar Plaza Lee Garden, di sini, pada akhir tahun iaitu sekitar bulan November atau Disember.

“Boleh dikatakan 70 peratus pelancong yang bercuti di Hatyai ini adalah merupakan rakyat Malaysia dan mereka ingin mencuba pelbagai makanan dijual di sini,” katanya.

Sementara itu, seorang ejen pelancongan di Hatyai yang ingin dikenali sebagai Rochana, 32, berkata, terdapat beberapa lokasi menjadi tumpuan pelancong dari Malaysia di sini antaranya seperti Plaza Lee Garden, Floating Market, Hatyai Municipal Park, Kim Yong Market, Samila Beach dan pelbagai lagi.

Katanya, terdapat sekitar 30 hingga 40 hotel sekitar Hatyai yang kebiasaannya menjadi pilihan pelancong Malaysia dan kebanyakkanya juga telah penuh ditempah sepanjang minggu ini.

“Hatyai boleh dikatakan sebagai syurga makanan bagi pelancong dan ramai orang Malaysia lebih gemar untuk mencuba kelainan di sini,” katanya.

Dalam pada itu, seorang pekerja kedai telefon, Shuhaila Mahamad Suki, 23, pula berkata, trend kemasukan pelancong Malaysia ke Hatyai dilihat semakin rancak khususnya selepas pandemik Covid-19.

Katanya, selain menikmati makanan, pengunjung juga kebiasaannya bercuti ke Hatyai untuk membeli-belah.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN