KABUL: Kakitangan kerajaan di beberapa wilayah Afghanistan mula menghentikan penggunaan telefon pintar susulan arahan baharu yang dipercayai dikeluarkan oleh Pemimpin Tertinggi Taliban, Hibatullah Akhundzada, berkuat kuasa semalam.
Arahan itu mula mendapat perhatian selepas sepucuk surat yang mengumumkan larangan penggunaan telefon pintar oleh semua penjawat awam tersebar di media sosial minggu lalu dengan menggunakan lambang Mahkamah Agung Afghanistan.
Menurut surat berkenaan, semua ketua jabatan di setiap wilayah diarah memaklumkan kepada kakitangan masing-masing bahawa penggunaan telefon pintar adalah dilarang sama sekali mulai Rabu.
Larangan itu membabitkan kakitangan jabatan awam dan tentera, manakala sebarang pengecualian hanya boleh diberikan dengan kelulusan pemimpin tertinggi negara.
Bagaimanapun, sehingga petang Rabu, beberapa jabatan kerajaan pusat masih menggunakan aplikasi WhatsApp untuk menyebarkan maklumat rasmi.
Mahkamah Agung Afghanistan dan jurucakap kerajaan setakat ini belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung arahan tersebut.
Di wilayah Ghazni, yang terletak antara Kabul dan Kandahar, kakitangan kerajaan dilaporkan mula menamatkan penggunaan telefon pintar mereka sejak malam Selasa sebagai persediaan mematuhi arahan itu.
Pegawai Jabatan Perlombongan dan Petroleum Ghazni, Irfan Andarh, dalam mesej yang dikongsi menerusi kumpulan WhatsApp berkata penggunaan telefon pintar di semua pejabat kerajaan di wilayah itu dilarang mulai Rabu.
Langkah berkenaan dilihat sebagai usaha terbaharu pihak berkuasa Taliban untuk mengetatkan kawalan terhadap komunikasi dan penggunaan teknologi dalam sektor kerajaan Afghanistan.
Menurut mesej yang memetik keputusan Pemimpin Tertinggi Taliban itu, kakitangan kerajaan masih boleh dihubungi melalui panggilan telefon dan e-mel bagi urusan rasmi.
Seorang pekerja pihak berkuasa tempatan di Ghazni yang enggan dikenali atas faktor keselamatan berkata, mereka diberi amaran sesiapa yang didapati menggunakan telefon pintar akan dipecat dan berdepan tindakan undang-undang.
Di wilayah Badakhshan di timur laut Afghanistan, seorang pegawai Jabatan Penerangan wilayah itu berkata hukuman bagi mereka yang melanggar arahan tersebut ialah penjara selama enam bulan.
“Satu arahan lisan daripada Emiriah Islam Afghanistan telah dibacakan dan semua ketua jabatan kerajaan diarahkan bahawa mulai hari ini, tiada seorang pun kakitangan pejabat Taliban dibenarkan menggunakan telefon pintar,” katanya.
Bagaimanapun, tahap pelaksanaan arahan itu di seluruh Afghanistan serta kesan sebenar terhadap operasi kerajaan masih belum dapat dipastikan.
Tiga kakitangan kerajaan di Badakhshan yang ditemui AFP secara berasingan berkata, larangan itu dijangka menyukarkan mereka menjalankan tugas harian.
Seorang pegawai Jabatan Pengangkutan berkata, dia sebelum ini menggunakan aplikasi WhatsApp untuk berkongsi maklumat berkaitan pergerakan kargo dan urusan logistik.
Seorang guru pula menyifatkan keputusan tersebut sebagai ‘amat mengecewakan’ dan berkata telefon pintarnya dirampas pada Rabu sebelum dipulangkan semula bersama amaran supaya tidak membawanya lagi ke tempat kerja.
Menurutnya, aplikasi pada telefon pintar amat penting untuk memastikan komunikasi dengan pelajar berjalan lancar.
“Kami memerlukan aplikasi untuk terus berhubung dengan pelajar dan mendengar masalah mereka. Sebagai contoh, melalui kumpulan WhatsApp, mereka boleh berkongsi masalah dalam kelas dan mengemukakan soalan berkaitan kerja sekolah,” katanya.- AFP










