PETALING JAYA: Kagum dengan penghijrahan seorang wanita berniqab, pelakon, Ozlynn Waty mendedahkan dirinya tidak lari daripada ujian dunia sebelum membuat keputusan untuk bertudung.
Kata Ozlyn atau Rozlinawaty Ismail, 45, meskipun dia memiliki pelbagai pengetahuan asas mengenai agama Islam, namun penampilannya tidak mencerminkan ilmu yang dimiliki.
“Ujian setiap manusia berbeza-beza. Saya budak aliran kelas Arab, saya belajar secara harfiah (boleh menterjemah Al-Quran secara terus, tetapi saya bukan hafizah dan masih berusaha ke arah itu).
“Saya juga pelajar hadis (akan sambung lagi, tolong doakan ingatan saya kuat ya). Namun, saya tidak menutup aurat,” katanya di Threads
Namun, pelakon filem Libang Libu itu bersyukur akhirnya hatinya terbuka untuk berhijrah dan menjaga auratnya sebaik mungkin sejak 2024.
Tambah Ozlynn, dirinya kini masih dalam usaha untuk kekal istiqamah dan belajar menghargai setiap perubahan kecil yang berlaku dalam hidupnya.
“Sehinggalah Allah menjemput saya menunaikan haji pada tahun 2024. Alhamdulillah, saya masih belum sehebat awak, tetapi setiap perubahan dan kemajuan itu tetap ada.
“Alhamdulillah, lingkungan pergaulan saya semuanya sangat positif. Semoga kita semua menjadi insan yang lebih baik untuk pengakhiran hidup kita. Amin,” kongsinya.
Bagaimanapun perkongsian tersebut telah dipadam selepas beberapa jam dikongsikan menerusi ruangan komen perkongsian seorang wanita di Threads.
Terdahulu, Ozlynn terinspirasi dengan cara seorang usahawan pakaian yang tenang mengendalikan situasi ketika dilabel ‘kepam’ selepas 17 tahun berusaha untuk menjaga cara pemakaiannya sehingga berniqab.










