ALOR SETAR: Seorang anak pemandu lori dari Jitra, Kubang Pasu dinobatkan sebagai Pelajar Terbaik Kebangsaan dari negeri ini dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025 yang diumumkan hari ini.
Timbalan Pengarah Pendidikan Kedah (Sektor Pembelajaran), Ishak Jaafar berkata, Nurul Danish Farhana Mohd. Fauzi, 20, yang memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00, dipilih menerima anugerah itu pada peringkat kebangsaan.
“Dia dipilih menerima Anugerah Pelajar Terbaik Kebangsaan STPM 2025 bagi kategori Aliran Sains Sosial dan kini berada di Kuala Lumpur bagi menghadiri majlis pengumuman keputusan di peringkat kebangsaan,” katanya semasa sidang akhbar, di sini hari ini.
Menurut beliau, prestasi keseluruhan negeri turut menunjukkan peningkatan apabila PNGK Kedah bagi STPM 2025 meningkat sebanyak 0.08 mata daripada 2.89 pada tahun lalu kepada 2.97 tahun ini.
“PNGK negeri pada tahun ini juga merupakan yang tertinggi pernah dicatatkan sejak peperiksaan STPM dilaksanakan dan seramai 97 calon atau 3.97 peratus memperoleh PNGK 4.00 berbanding 98 calon atau 3.51 peratus pada 2024.
“Walaupun jumlah calon yang memperoleh PNGK 4.00 berkurangan seorang, peratusannya meningkat sebanyak 0.46 peratus,” katanya.
Sementara itu, empat institusi pendidikan di Kedah turut menerima pengiktirafan daripada Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) dengan dua daripadanya menerima Anugerah Pusat Tingkatan Enam Terbaik Kebangsaan STPM 2025 bagi kategori Kolej Tingkatan Enam iaitu Kolej Tingkatan Enam Sultan Sallehuddin dan Kolej Tingkatan Enam Kulim.
“Selain itu, SMK Kubor Panjang serta SMK Chio Min (CF) menerima Anugerah Pusat Tingkatan Enam Terbaik Kebangsaan STPM 2025 bagi kategori Mod 2 dan Mod 3,” katanya. – UTUSAN










