LANGKAWI: Kira-kira 500 keluarga di lima kampung dan taman perumahan di daerah ini menghadapi masalah bekalan air bersih sejak dua tahun lalu sehingga penduduk mendakwa terpaksa menggunakan air sungai berhampiran sebagai kegunaan harian.
Antara kawasan terlibat ialah Taman Sungai Raya; Kampung Teluk; Kampung Belanga Pecah; Kampung Kisap dan Ladang Sungai Raya.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, rata-rata penduduk meletakkan bekas tadahan air di luar rumah bagi mengisi air untuk digunakan pada setiap hari.
Dakwa penduduk, pelbagai alasan diberi ekoran masalah tersebut antaranya paip dasar laut pecah dan faktor-faktor lain.
Malah, perkara itu semakin teruk dalam dua bulan ini sehingga turut menyebabkan anak-anak mereka sering tidak dapat ke sekolah, sambutan Deepavali yang terjejas selain menyukarkan penduduk yang terlantar sakit.
Seorang penduduk, N. Tharisinei, 29, berkata, sejak dua tahun lalu, bekalan air yang diterima mereka tidak menentu dan tiada notis diberikan pihak berwajib selain lori yang membawa bekalan itu tidak sampai ke kawasan mereka.
“Kami terpaksa telefon Syarikat Air Darul Aman (SADA) beberapa kali untuk minta hantar air dan hanya diberitahu lori rosak, sedangkan kami pernah tiada bekalan air selama tiga hari berturut-turut.
“Sebelum ini ada penduduk yang terpaksa mengambil air dari sungai disebabkan tiada air, tetapi ketika musim kemarau sungai tersebut juga kering,” katanya ketika ditemui, semalam.
Seorang lagi penduduk, S. A. Annappurani, 42, berkata, ada penduduk yang terpaksa membeli air mineral dan menghantar baju untuk dibasuh di kedai dobi.
“Tapi sampai bila kami mampu nak tanggung kos-kos tambahan ini kerana kami bukannya orang kaya yang boleh beli air mineral dan hantar baju ke dobi setiap hari.
“Sudah dua kali Deepavali kami tak dapat sambut sebab tiada air, bahkan baru-baru ini ada jiran yang meninggal dunia dan kami terpaksa beli air mineral untuk mandi mayat,” ujarnya.
Sementara itu, penduduk yang mengusahakan kedai makan di Kuah, Suriyah Abdullah, 53, berkata, dia menanggung kerugian yang banyak semasa bekalan air terputus.
“Saya biasanya akan masak di rumah sebelum makanan tersebut dibawa ke kedai. Baru-baru ini bekalan air sudah kembali seperti biasa, tetapi air yang kami dapat tidak begitu bersih, dan kami risau sekiranya bekalan air akan terputus lagi tanpa notis seperti sebelum ini,” katanya.-UTUSAN