Penduduk Bukit Jelutong kesal hilang tempat riadah - Utusan Malaysia

Penduduk Bukit Jelutong kesal hilang tempat riadah

Bukit Jelutong
SEBAHAGIAN penduduk Bukit Jelutong hadir pada perhimpunan aman bagi membantah pembinaan projek perumahan dekat sebuah kawasan riadah di Bukit Jelutong, Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Lebih 1,000 penduduk Bukit Jelutong di sini, melahirkan rasa kesal apabila sebuah tempat riadah di kawasan perumahan mereka bakal ditutup bagi memberi laluan kepada pembinaan projek 425 buah rumah.

Malah, tempat riadah itu juga dikatakan menjadi kawasan tadahan air apabila terdapat sebuah tasik yang dikeliling padang golf dan kemudahan rekreasi lain bagi kegunaan penduduk setempat.

Salah seorang penduduk, Aidil Ismi, 42, berkata, kawasan perumahan berkenaan terselamat daripada mengalami bah besar pada 2021 dengan wujudnya padang golf berkeluasan 69 ekar (28 hektar) itu, apabila rumah bungalownya di Jalan Teratak U8/96a tidak dinaiki air.

“Semasa bencana itu, kita terselamat daripada banjir. Kawasan di sekitar sini yang hanya dinaiki air adalah di Plaza Tol Shah Alam.

“Jadi saya harap pihak pemaju dapat batalkan projek ini kerana padang golf itu adalah ‘nyawa kami’ sekiranya hujan lebat,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Terdahulu lebih 100 penduduk hadir perhimpunan aman yang diadakan di kawasan perumahan itu bagi menyatakan bantahan terhadap projek perumahan tersebut yang didakwa akan menjejaskan kejiranan di sana.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Bukit Jelutong (PGRA), Zien Hashim memberitahu, penduduk kesal dengan pengumuman dibuat Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang memaklumkan perkara tersebut hanya melalui laman web.

Sebaliknya, tiada sesi libat urus diadakan bersama penduduk sebelum Kebenaran Merancang (KM) dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) itu. 

“Kami amat terkejut apabila Kebenaran Merancang (KM) telah diberikan kepada syarikat pemaju pada 6 September tahun ini semasa sesi townhall penduduk bersama pihak MBSA pada 30 September tahun ini.

“Memang sangat mengecewakan kerana kami tidak dimaklumkan lebih awal serta sesi townhall diadakan selepas KM diberikan,” ujarnya.

Katanya lagi, penduduk kini mempertimbangkan untuk mengambil tindakan perundangan terhadap pemaju sekiranya mereka mahu meneruskan untuk membuat projek berkenaan.

Selain itu, bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib berkata, padang golf tersebut merupakan satu-satunya kawasan riadah yang ada di Bukit Jelutong, yang penduduknya dianggarkan berjumlah lebih 50,000 orang memandangkan semua kawasan lain sudah dibangunkan oleh pemaju.

“Mereka sudah kaut untung jutaan ringgit. Jadi, rasanya tak salah untuk mereka tinggalkan padang ini untuk kegunaan penduduk,” katanya yang juga penduduk taman berkenaan.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik, Mohd. Najwan Halimi yang turut hadir memberitahu beliau akan mengarahkan satu pertemuan antara penduduk dengan pihak pemaju dan PBT  dalam masa terdekat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya