KUALA KANGSAR: Penduduk di mukim Senggang dekat sini membantah rancangan projek pembalakan di kawasan mereka kerana mendakwa boleh mengancam alam sekitar selain tidak diberikan penerangan berkenaan usaha tersebut.
Menerusi maklumat yang diperoleh oleh beberapa penduduk, kawasan didakwa terlibat adalah hutan seluas 266 hektar antara Gunung Bubu dan pekan Manong.
Mereka mendakwa, rata-rata penduduk kampung tidak dimaklumkan mengenai rancangan itu sedangkan infrastruktur seperti jalan telah disiapkan yang didakwa bagi tujuan projek tersebut.
Bantahan turut dikemukakan bersama oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Sahabat Alam Malaysia (SAM) yang mempersoalkan rancangan itu terutama dari segi pematuhan undang-undang penerokaan hutan.
Aktivis SAM, Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata, apa yang disuarakan oleh penduduk tentang impak alam sekitar mempunyai asas terutama kepada sumber air dan kesan terhadap Sungai Perak.
Malah dakwanya, apa yang mengelirukan ialah rancangan itu didakwa mengaitkan mahasiswa namun tidak dapat dipastikan bagaimana projek pembalakan tersebut akan melibatkan pelajar.
Katanya, banyak masalah boleh timbul akibat pelaksanaan pembalakan yang tidak jelas termasuk kerosakan ekosistem, peningkatan haba, menjejaskan tanaman buah-buahan untuk jangka masa pendak dan panjang.
“Kita minta kerajaan negeri kaji semula projek ini yang saya rasa tidak berdaya maju. Walaupun atas kertas memang cantik, tetapi dari segi amalannya sudah ada tempat-tempat lain yang tidak berdaya maju,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian semasa sesi bersama lebih 20 orang wakil penduduk yang membantah projek tersebut serta melahirkan kegusaran pelaksanaan dan kesannya kepada mereka.
Seorang daripada penduduk, Sanadi Haris, 60 tahun, melahirkan kebimbangan khuatir projek itu akan menyebabkan banjir seperti berlaku di Baling, Kedah yang memusnahkan banyak kampung.
Dakwanya, kerisauan timbul dalam kalangan penduduk sekurang-kurangnya di empat buah kampung berdekatan iaitu Kampung Guar, Kampung Suak Petai, Ulu Piol dan Manong dengan anggaran penduduk setiap kampung mencecah 1,000 orang.
“Keadaan ini merugikan penduduk sendiri. Hasil-hasil hutan dibawa keluar dan masyarakat tempatan tidak meraih manfaat. Hal ini perlu dikawal dan diberikan perhatian oleh pihak berkuasa,” katanya.
Bantahan itu turut dibentangkan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manong, Berhanudin Ahmad yang mendengar rintihan penduduk.
ADUN itu berkata, pihaknya akan mengumpul maklumat tentang projek tersebut dan sedia membawa isu berkenaan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang bermula pada 1 Disember 2023 ini. – UTUSAN










