Pemilik syarikat ‘sapu’ duit Penjana RM196,760

Pemilik syarikat ‘sapu’ duit Penjana RM196,760

SHIVA LINGAA dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas enam pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu insentif Penjana membabitkan RM196,760, dua tahun lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang pemilik syarikat teknologi maklumat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas enam pertuduhan menipu dengan mengemukakan dokumen palsu kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), dua tahun lalu.

Tertuduh, K. Shiva Lingaa, 30, melakukan perbuatan itu bagi menuntut insentif di bawah Program Insentif Pengambilan Pekerja (Penjana) membabitkan nilai keseluruhan RM196,760.

Bagaimanapun, lelaki itu mengaku tidak bersalah atas keenam-enam pertuduhan berkenaan selepas ia dibacakan di hadapan Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menipu seorang kakitangan Perkeso Johor Bahru dengan mengemukakan Borang Pengesahan Pekerja palsu bagi Program Insentif Pengambilan Pekerja.

Tindakan pemilik syarikat itu mengemukakan senarai lapan pekerja bagi menuntut insentif itu yang mana individu terbabit bukan pekerja syarikatnya.

Tindakan tertuduh itu didakwa dilakukan dengan niat hendak memperdayakan kakitangan Perkeso sedangkan dokumen dikemukakan itu mengandungi butiran pekerja palsu.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di Pejabat Perkeso Johor Bahru, pada 30 Jun 2021.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rais Adha Ramli dan Nur Mahirah Mohd Pauzi manakala tertuduh diwakili Muhammad Faizzudin Abd Rafik.

Rais Adha memohon mahkamah mengenakan syarat termasuk jaminan sebanyak RM50,000, seorang penjamin warga tempatan selain pasport antarabangsa tertuduh diserahkan kepada mahkamah. 

Bagaimanapun, peguam tertuduh memohon jumlah jaminan dikurangkan kepada RM15,000 kerana tertuduh perlu menanggung kedua ibu bapanya selain tidak pernah gagal hadir siasatan di Pejabat SPRM.

Hakim kemudian memerintah tertuduh dijamin sebanyak RM15,000 dengan seorang warga tempatan.

Sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen pula ditetapkan pada 6 Disember depan. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya