Pastikan sekolah kita selamat

Pastikan sekolah kita selamat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEMBACA laporan lebih 1,000 sekolah di seluruh negara dikenal pasti mempunyai bangunan tidak selamat dari segi struktur serta diklasifikasi sebagai daif di Parlimen semalam, menimbulkan kegusaran.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, setakat suku pertama tahun ini sejumlah 1,061 sekolah mempu­nyai bangunan dikategori di bawah Skala Tujuh, iaitu klasifikasi bagi bangunan sekolah daif.

“Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui Ja­batan Pendidikan Negeri (JPN) sentiasa meneliti keper­luan dan kebolehlaksanaan pembinaan bangunan gantian bagi sekolah yang berada pada Skala Tujuh,” katanya.

Sehari sebelum itu, Utusan Malaysia melaporkan aspek keselamatan bangunan dan infrastruktur sekolah di negara ini perlu ditambah baik bagi mengelak insiden pelajar terjatuh dari tempat tinggi daripada terus berulang.

Kata pensyarah kejuruteraan awam, Dr. Noor Azim Mohd. Radzi, koridor, tangga dan dinding penghadang di setiap tingkat perlu diberikan keutamaan kerana merupa­kan kawasan yang sering menjadi tumpuan pelajar berkumpul serta mempunyai risiko lebih tinggi sekiranya ciri ke­selamatan tidak memenuhi keperluan semasa.

Memastikan tahap keselamatan sekolah dan persekitarannya amat penting. Sebabnya, persekitaran yang selamat dan kondusif menjadi pemangkin utama kepada peningkatan prestasi akademik pelajar, sekali gus memperkukuh kualiti pendidikan negara.

Sekolah adalah rumah kedua anak-anak kerana sebahagian besar masa mereka berada di institusi itu. Untuk itu, sudah pasti jaminan keselamatan oleh kerajaan amat me­legakan semua ibu bapa.

Apabila bangunan sekolah dalam keadaan baik dan selamat, para guru juga lebih mudah memberi tumpuan melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP).

Bayangkan, jika sekolah dalam keadaan daif itu contohnya pintu tandasnya tercabut, tombol pintu bilik darjahnya hilang, simen lantainya berlubang-lubang, semua ini menambah stres murid dan guru-guru terlibat.

Bagaimanapun, kita rasa lega apabila Fadhlina sebelum ini memberi jaminan sebarang pemotongan bajet tidak akan menjejaskan program-program utama di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) seperti aspek kebajikan murid dan penyelenggaraan sekolah.

Ia berikutan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Belanjawan 2027 yang bakal dibentangkan Oktober ini akan mengambil kira pelbagai langkah penjimatan melibatkan semua kementerian termasuk KPM dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Fadhlina berkata, usaha membaik pulih sekolah daif serta kerja-kerja penyelenggaraan akan diteruskan se­perti biasa kerana ia merupakan komitmen berterusan kementerian bagi memastikan sekolah berada dalam keadaan kondusif dan selamat.

Bagi menangani peningkatan insiden pelajar terjatuh di sekolah, guru bimbingan dan kaunseling perlu memainkan peranan lebih proaktif.

Mereka perlu mengenal pasti murid yang menunjukkan perubahan emosi atau kecen­derungan kepada tingkah laku berisiko supaya intervensi dapat dilakukan sebelum berlaku sebarang kejadian tidak diingini.

Usaha ini pula perlu disokong dengan kerjasama ibu bapa kerana pengurusan murid berisiko tidak boleh dipikul oleh pihak sekolah semata-mata.

Selain itu, kita perlu melihat sama ada terdapat perubahan dari sudut emosi atau tingkah laku murid yang memerlukan perhatian lebih awal.

 

Mohd. Radzi Mohd Zin ialah Pengarang Berita Kanan Utusan MalaysiaUTUSAN