Pembunuh penyanyi Along Spoon bebas penjara

Pembunuh penyanyi Along Spoon bebas penjara

KENDERAAN pacuan empat roda yang dipercavai membawa banduan yang terlibat dengan kes pembunuhan penyanyi, Along Spoon, Mohd. Ya'cob Demyati semasa keluar dari pekarangan penjara selepas dibebaskan semalam. - UTUSAN/ AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Selepas meringkuk selama 23 tahun di penjara, pembunuh penyanyi terkenal era 90-an, Allahyarham Along Spoon, dibebaskan daripada Penjara Kajang, semalam.

Bekas anggota polis, Mohd. Ya’cob Demyati, 57, bebas selepas Mahkamah Persekutuan meminda hukuman pemenjaraan sepanjang hayat yang dikenakan terhadapnya sebelum ini kepada penjara 33 tahun.

Keputusan sebulat suara itu dibuat oleh panel lima hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Turut bersidang ialah Hakim Besar Malaya, Tan Sri Mohamad Zabidin Mohd. Diah dan Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim, Datuk Nordin Hassan serta Datuk Abu Bakar Jais.

Prosiding semalam merupakan sesi kedua semakan terhadap banduan yang dijatuhi hukuman mati atau penjara sepanjang hayat selepas penguatkuasaan Akta Pemansuhan Hukuman Mati 2023, empat bulan lalu.

Mohd. Ya’cob sebelum ini dijatuhi hukuman gantung sampai mati namun hukuman itu diringankan kepada penjara sepanjang hayat selepas Lembaga Pengampunan yang bersidang pada 7 Ogos 2012 membenarkan petisyen rayuannya.

Hukuman penjara itu diperintah berkuat kuasa dari tarikh tangkapan 4 Januari 2000.

Menurut peguam bela, Che Muji Che Noh yang mewakili, Mohd. Ya’cob, mengesahkan pembebasan itu ketika dihubungi media.

Tambahnya, anak guamnya tidak perlu menjalani baki 10 tahun penjara kerana telah mendapat ‘diskaun’ atas kelakuan baiknya.

“Anak guam dipenjarakan 33 tahun dari tarikh tangkap pada 4 Januari 2000. Meskipun mahkamah putuskan tempoh 33 tahun, ada ‘diskaun’ satu pertiga. Maknanya, dia sudah menjalani hukuman selama tempoh ini. Jadi dia bebas hari ini,” katanya.

Menurut Peraturan 43 Akta Penjara 1995, bagi tujuan untuk menggalakkan kelakuan baik dan kerajinan serta memudahkan pemulihan, seseorang banduan yang disabitkan dengan suatu tempoh pemenjaraan yang melebihi satu bulan hendaklah diberi remitan satu pertiga daripada hukumannya.

Terdahulu, Che Muji merayu agar anak guamnya dikenakan hukuman penjara 30 tahun bermula dari tarikh tangkap.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nahra Dollah, memohon hukuman penjara dikenakan terhadap Mohd. Ya’cob tidak kurang dari 35 tahun dengan mengambil kira kekejaman yang dilakukan terhadap mangsa, Along atau nama sebenarnya, Sabi’ul Malik Shafie.

“Mayat tidak berpakaian dan kaki juga diikat. Sebelum dibunuh, mangsa telah dipukul dalam kereta dan mayatnya ditinggalkan di tempat gelap.

“Motif pembunuhan hanya kerana cemburu yang mana mangsa dikatakan mempunyai hubungan sulit dengan isteri pemohon,” kata Nahra.

Pada 10 April 2002, Mahkamah Tinggi Seremban menjatuhi hukuman mati selepas mendapati Mohd. Ya’cob bersalah sepenuhnya dalam kejadian pembunuhan itu.

Mengikut pertuduhan, Mohd. Ya’cob yang merupakan anggota cawangan pengawal pengiring Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dituduh membunuh Along yang berusia 19 tahun ketika itu di tepi jalan di Kilometer 28 Jalan Kuala Klawang-Genting Peras, Jelebu pada pukul 1 pagi, 26 Disember 1999.

Along dilaporkan hilang pada 25 Disember 1999. Polis kemudian menjumpai rangka manusia yang diikat dalam guni di lereng bukit di Jalan Kuala Klawang pada 6 Januari 2000.

Mengikut peruntukan Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat yang berkuat kuasa 12 September lalu, Mahkamah Persekutuan mempunyai kuasa budi bicara untuk menyemak semula kes melibatkan hukuman mati ekoran penguatkuasaan undang-undang baharu iaitu Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 pada 4 Julai lalu.

Di bawah undang-undang itu, hukuman mati mandatori (wajib) bagi kesalahan seperti mengedar dadah dan membunuh telah dihapuskan.

Undang-undang itu memberi pilihan kepada hakim sama ada mengenakan hukuman mati atau pemenjaraan bagi tempoh tidak kurang daripada 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun, dan jika tidak dihukum mati, pesalah boleh juga dikenakan sebatan tidak kurang daripada 12 kali bagi banduan lelaki berusia di bawah 50 tahun.

Sebelum ini, media melaporkan sebanyak 978 permohonan melibatkan 1,020 banduan hukuman mati dan penjara sepanjang hayat telah diterima untuk semakan di bawah Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, jumlah itu sehingga 9 November lalu selepas semua permohonan dikemukakan kepada mahkamah dalam tempoh masa 90 hari dari tarikh akta dikuatkuasa.

Dalam prosiding semalam juga, seramai lapan banduan mendapat ‘peluang kedua’ selepas mahkamah tertinggi negara menggantikan hukuman mati yang dikenakan terhadap mereka dengan penjara 30 tahun dan sebatan 12 kali.

Banduan berkenaan iaitu Lim Hock Boon, 58; Che Nazri Mat, 47; Law Yew Kuan, 79; T. Sivakumar, 45; M. Saravanan Muthu, Razali Ahmad, 49; R. Sarumathi, 71, dan Malti (warganegara India), 68.

Kesemua mereka sebelum ini dikenakan hukuman mati atas kesalahan mengedar dadah.

Mahkamah turut mengetepikan hukuman penjara sepanjang hayat dan memindanya kepada penjara 36 tahun terhadap dua lagi banduan iaitu G. Krishna Rao, 47, dan M. Rajendran, 56.

Seorang lagi, Mohd. Masri Radhuan, 44, dikenakan hukuman penjara 33 tahun.

Ketiga-tiga lelaki itu dikenakan hukuman tersebut selepas didapati bersalah atas tuduhan membunuh.

Selain Nahra, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd. Dusuki Mokhtar, Datuk Yusaini Amer Abdul Karim dan Parvin Hameedah Natchiar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×