Pembunuh Along Spoon bebas hari ini

Pembunuh Along Spoon bebas hari ini

PEMBUNUH Along Spoon dibebaskan hari ini.- FOTO MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pembunuh penyanyi terkenal era 90-an, Allahyarham Along Spoon akan dibebaskan dari Penjara Kajang hari ini selepas Mahkamah Persekutuan meminda hukuman pemenjaraan sepanjang hayat kepada penjara 33 tahun.

Peguam mewakili Mohd. Ya’cob Demyati, iaitu Che Muji Che Noh, memberitahu Utusan Malaysia bahawa anak guamnya akan dibebaskan hari ini.

Bagaimanapun, belum dapat dipastikan masa sebenar anak guamnya bebas kerana difahamkan, pihak penjara sedang menguruskan hal tersebut.

“Anak guam dipenjarakan 33 tahun dari tarikh tangkap pada 4 Januari 2000. Meskipun mahkamah putuskan tempoh 33 tahun, namun ada ‘diskaun’ satu pertiga.

“Maknanya, dia sudah menjalani hukuman selama tempoh ini. Jadi, dia bebas hari ini,” katanya ketika dihubungi.

Pagi tadi, Mohd. Ya’cob, 57, terlepas daripada hukuman pemenjaraan sepanjang hayat selepas Mahkamah Persekutuan hari ini meminda hukuman tersebut kepada penjara 33 tahun.

Dia sebelum ini diperintah menjalani hukuman mati, namun, ia diringankan kepada penjara sepanjang hayat selepas Lembaga Pengampunan yang bersidang pada 7 Ogos 2012 membenarkan petisyen rayuannya.

Keputusan dicapai oleh Mahkamah Persekutuan pada hari kedua persidangan hari ini selepas empat bulan penguatkuasaan Akta Pemansuhan Hukuman Mati 2023.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang bersidang bersama-sama Hakim Besar Malaya, Tan Sri Mohamad Zabidin Mohd. Diah; Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Hasnah Datuk Mohammed Hashim, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abu Bakar Jais memutuskan demikian secara sebulat suara selepas membenarkan permohonan semakan ke atasnya.

Pada prosiding itu, Mahkamah Persekutuan mengetepikan hukuman kepada Mohd. Ya’cob atas kesalahan membunuh Along atau nama sebenar Sabi’ul Malik Shafie yang terkenal menerusi lagu Rindu Serindu-Rindunya itu bermula dari tarikh tangkap pada 4 Januari 2000.

Bagaimanapun, Mohd. Ya’acob terlepas daripada hukuman sebatan atas faktor usia kerana berumur lebih 50 tahun.

Mohd. Ya’cob antara 12 daripada 13 banduan terlepas daripada hukuman mati atau penjara sepanjang hayat selepas Mahkamah Persekutuan menukarkannya kepada penjara 30 tahun dan ke atas manakala banduan lain turut dikenakan hukuman 12 sebatan. -UTUSAN

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.