Pembangkang jamin sokong, lulus RUU Kawalan Produk Merokok 

Pembangkang jamin sokong, lulus RUU Kawalan Produk Merokok 

AHMAD FADHLI SHAARI 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang ahli Parlimen memberi jaminan blok pembangkang akan menyokong sekali gus meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023, jika kerajaan serius membentangkannya di Dewan Rakyat. 

Ahmad Fadhli Shaari [PN-Pasir Mas] berkata, RUU itu perlu dibentang segera demi kemaslahatan generasi pada masa akan datang. 

Selain itu, katanya, kerajaan tidak perlu tunduk dengan tekanan mana-mana pihak yang tidak bersetuju dengan pembentangan RUU itu. 

“Apakah hala tuju rang undang-undang kawalan produk merokok ini? Setakat manakah kerajaan serius melaksanakannya? 

“Saya menyatakan pendirian kalau kerajaan bawa RUU ini, kami di blok pembangkang akan menyokong langkah kerajaan. Jadi jangan tunduk dengan mana-mana tekanan. 

“Ini bukan kepentingan politik, ini lebih daripada kepentingan politik parti,” katanya semasa membahaskan RUU Perbekalan 2024 di peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kesihatan (KKM) di Dewan Rakyat hari ini. 

Pada 18 November lalu, Jabatan Peguam Negara (AGC) negara secara konsisten menegaskan bahawa peruntukan berhubung RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 boleh dicabar di mahkamah.

Peguam Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd. Salleh dalam berkata, peruntukan RUU itu bercanggah dengan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.

AGC merujuk kenyataan yang dikeluarkan oleh bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang disiarkan dalam portal kesihatan CodeBlue bertarikh 14 November 2023 dan laporan media tempatan pada 16 November 2023.

Sebelum ini, CodeBlue mendakwa, Kabinet telah memutuskan menggugurkan peruntukan berkaitan larangan tembakau dan vape berdasarkan umur daripada RUU tersebut.

Pada 9 Oktober lalu, Utusan Malaysia melaporkan, RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 bagi bacaan kali yang kedua ditarik balik dari dibentang oleh KKM pada 10 Oktober lalu.

Penarikan balik RUU berkenaan yang telah melepasi kajian dan pertimbangan Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan, Sains dan Inovasi Parlimen sebelum ini perlu dibentang dan diluluskan oleh Kabinet terlebih dahulu.

RUU itu bakal melarang penjualan serta penggunaan sebarang bentuk bahan merokok termasuk rokok elektronik kepada individu yang dilahirkan selepas 1 Januari 2007.

RUU itu dibentang bacaan pertama pada 12 Jun lalu dan dirujuk ke Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Kesihatan dengan penelitian dibuat oleh ahli-ahlinya untuk membuat syor penambahbaikan.

Pada 16 Oktober lalu, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni memberitahu Utusan Malaysia, RUU itu yang ditarik balik pembentangannya pada minggu pertama mesyuarat Dewan Rakyat hanya akan dibawa semula ke Parlimen pada hujung bulan ini.

Baru-baru ini, Khairy dilaporkan tidak bersetuju dengan pendirian bahawa RUU itu atau dikenali sebagai RUU Generasi Penamat (GEG) tidak berperlembagaan dan tidak boleh dikuatkuasa.

Katanya, semasa RUU itu dibentang di Parlimen kali pertama dahulu, pihaknya telah diminta membuat beberapa pindaan dan satu jawatankuasa pilihan khas Parlimen ditubuh dengan beliau menjadi pengerusi untuk mengkajinya.

Beliau mengulas komen Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, menerusi hantaran di media sosial sebelum ini bahawa undang-undang yang tidak boleh dikuatkuasakan dan tidak berperlembagaan akan membawa kerugian berjuta-juta ringgit kepada kerajaan.

Khairy memberitahu, alasan yang diberi oleh Hannah adalah lemah dan beliau tidak boleh menerimanya.

Menurutnya, RUU itu telah beberapa kali dibawa ke Kabinet dan Parlimen semasa Khairy menjadi Menteri Kesihatan sebelum disambung oleh Dr. Zaliha Mustafa dan isu tidak berperlembagaan tidak pernah berbangkit.

Khairy dalam hantaran di Instagram pula mendakwa dua menteri Kabinet dan seseorang yang dirujuknya sebagai “the gaffer” menghalang RUU tersebut iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.

Semalam, media melaporkan, Zaliha memberi jaminan akan membentangkan RUU itu sebelum mesyuarat Dewan Rakyat berakhir pada 30 November ini. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

BERITA BERKAITAN