PUTRAJAYA: Malaysia mengumumkan beberapa langkah penambahbaikan dalam hubungan dengan negara jiran dan beberapa negara Asia lain termasuk mengecualikan visa bagi pelawat dari China dan India.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelawat dari China dan India dikecualikan visa 30 hari selain dari Turkiye serta Jordan mulai 1 Disember ini.
Bagaimanapun beliau memberi jaminan tapisan keselamatan teliti akan dilakukan agar tiada kebocoran kemasukan melibatkan penjenayah dan pengganas.
“Langkah ini bakal beri lonjakan dalam hubungan dan kerjasama strategik,” katanya yang juga Presiden PKR ketika berucap pada penggulungan Kongres Nasional Tahunan Ke-17 parti itu di sini, semalam.
Inisiatif berkenaan katanya, selaras ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik dengan China dan negara-negara sahabat di Asia Barat untuk datang bercuti di Malaysia.
Terdahulu, beliau umumkan hubungan dengan Singapura dipertingkatkan lagi malah sentimen prasangka isu lama yang pernah berlaku sebelum ini akan dibenamkan.
Justeru, menteri bagi hal ehwal ekonomi kedua-dua negara ujar beliau, akan meneroka kerjasama lebih pesat terutama projek zon ekonomi di sempadan yang bakal diwujudkan.
Kata beliau, Kerajaan Perpaduan mengambil sikap positif dan menerima perakuan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong berhubung beberapa isu panas selama ini.
Ia termasuk kemelut harga bekalan air mentah yang dianggap berat sebelah, masalah ruang udara dan pertikaian sempadan maritim antara kedua-dua negara berjiran tersebut.
Sementara itu, Anwar juga mengumumkan pertemuan beliau dengan rakan sejawatannya dari Thailand, Srettha Thavisin di bandar sempadan Sadao dan Bukit Kayu Hitam, Kedah.
“Esok (hari ini) saya akan ke sana dan kami berharap urusan perjalanan dua hala akan lebih baik dan cekap, sekali gus menggalakkan pelancongan wilayah bersempadan di situ,” katanya.
Beliau membayangkan akan berlaku lonjakan tempias ekonomi di negeri-negeri wilayah utara Semenanjung dan wilayah selatan Thailand yang akan memanfaatkan penduduk.
Pada masa sama, Anwar berharap, usaha berkenaan dapat memberi kestabilan politik dan perdamaian berterusan di situ yang masih ketinggalan dari segi pembangunan.
Di samping itu, kemudahan prasarana lapangan terbang di Alor Setar, Pulau Pinang, Kota Bharu dan Senai akan ditingkatkan untuk menarik ramai pelawat antarabangsa datang.
Dua hari lalu, China mengumumkan pengecualian buat sementara waktu warga Perancis, Jerman, Itali, Belanda, Sepanyol termasuk Malaysia daripada memerlukan visa untuk melawat ekonomi kedua terbesar dunia itu dalam usaha memberi rangsangan kepada pelancongan pasca wabak.
Bermula 1 Disember hingga 30 November 2024, rakyat negara-negara tersebut yang memasuki China untuk perniagaan, pelancongan, melawat saudara-mara dan rakan-rakan atau transit selama tidak lebih daripada 15 hari, tidak memerlukan visa.
Dalam pada itu, Anwar berkata, hubungan antarabangsa dua hala tidak boleh diperlekeh sebagaimana ketika pemerintahan kerajaan terdahulu sedangkan ia memberi signifikan dalam kerjasama strategik antara negara.
Jelasnya, ramai pihak menyalah tanggap hubungan antarabangsa ini dianggap satu pembaziran sedangkan ia adalah satu peluang dan ruang untuk membawa masuk pelaburan ke negara ini.
“Hampir 90 peratus lawatan luar negara mesti ditunaikan termasuk sidang ASEAN dan Sidang Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) demi membawa pulang pelaburan asing ke negara ini,” katanya. – UTUSAN










