Pelajar UniSZA di Palestin hadapi situasi getir  - Utusan Malaysia

Pelajar UniSZA di Palestin hadapi situasi getir 

TANGKAP layar klip video ucapan Saber T.R. Syouri yang ditayangkan pada majlis Idul Ilmi Konvokesyen ke-15 UniSZA, Kuala Nerus hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Kegembiraan graduan, ibu bapa dan pensyarah yang hadir dalam Majlis Idul Ilmi Konvokesyen Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Kali Ke-15 di Gong Badak di sini, hari ini bertukar pilu apabila sebuah video pelajar Palestin ditayangkan di depan mereka.

Video kiriman Saber T.R. Syouri yang kini berlindung di Tebing Barat, Palestin membuatkan ramai hadirin sebak apabila beliau menceritakan situasi getir yang sedang berlaku di negara itu ketika ini.

Pelajar berusia 50 tahun itu telah berjaya menamatkan pengajian Doktor Falsafah (PhD) pada Disember 2022 dan pulang ke Palestin untuk bersama keluarga tercinta.

Bagaimanapun, pelajar dari Fakulti Informatik dan Komputeran itu tidak dapat kembali ke Malaysia untuk menghadiri majlis konvokesyen kali ini disebabkan perang yang tercetus sejak 7 Oktober lalu.

“Saya minta maaf, betul-betul minta maaf kerana tidak dapat berada di UniSZA pada hari ini kerana situasi di Palestin yang sangat berbahaya dan rumit (menghalangnya hadir ke majlis konvokesyen).

“Saya memohon agar semua mendoakan keselamatan kami di Palestin. Terima kasih untuk semua, untuk Terengganu dan UniSZA atas segalanya-galanya,” katanya melalui video tersebut.

Ramai hadirin yang menitiskan air mata sebaik mengetahui isteri, anak lelaki dan anak perempuan Saber turut terkorban dalam peperangan kali ini.

Pada majlis konvokesyen itu, seramai enam pelajar Palestin tersenarai dalam 3,608 graduan UniSZA yang diraikan dengan penuh istiadat dan gilang gemilang.

Bagaimanapun, hanya seorang sahaja daripada mereka iaitu Hanan Kamel Mohammed Saad, 51, hadir mengambil skrol yang disampaikan oleh Canselor UniSZA, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.

Empat pelajar lagi tidak dapat diketahui status terkini mereka setelah pulang ke Palestin pada tahun lepas.

Sementara itu, Hanan Kamel berkata, perasaannya bercampur baur ketika naik ke pentas untuk menerima skrol PhD kerana tiada ahli keluarga yang datang meraikannya bersama-sama pada hari istimewa itu.

“Mujurlah ramai rakan-rakan dan pensyarah di UniSZA kini menjadi sebahagian daripada keluarga saya dan sentiasa berusaha untuk memastikan saya tidak terlalu bersedih dengan apa yang terjadi di Gaza ketika ini.

“Terima kasih kepada warganegara Malaysia dan UniSZA kerana sentiasa prihatin dengan penderitaan rakyat Palestin,” katanya yang melanjutkan pengajian dalam Fakulti Sains Kesihatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya