PETALING JAYA: Malaysia mengulangi pendirian dan seruan kepada masyarakat antarabangsa serta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) agar mengambil tindakan segera bagi menghentikan sebarang pencerobohan terhadap Masjid Al-Aqsa
Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata, Malaysia mengutuk keras insiden tersebut dengan menyifatkan sebarang usaha ke arah melakukan proses Yahudisasi terhadap Masjid Al-Aqsa adalah perbuatan keji yang mencemarkan kesucian masjid itu.
Malah katanya, tindakan terbaharu melibatkan peneroka haram dengan sokongan rejim Zionis Israel merupakan cubaan untuk mengubah realiti di lapangan serta ciri-ciri budaya, sejarah dan kesucian Masjid Al-Aqsa.
“Tindakan sedemikian bersifat provokatif dan tidak boleh diterima sama sekali, selain jelas mengabaikan peranan penjagaan terhadap tapak-tapak suci Islam di Baitulmaqdis.
“Masyarakat antarabangsa tidak boleh terus berdiam diri ketika permusuhan dan pencerobohan berlaku secara terang-terangan,” katanya hari ini.
Memetik laporan antarabangsa, peneroka haram Israel sebelum ini menceroboh Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis Timur yang diduduki dengan kawalan serta perlindungan polis Israel, di saat ketegangan serta amaran rakyat Palestin mengenai rancangan Yahudisasi di kawasan suci itu.
Menurutnya, tindakan berlaku ketika kebimbangan semakin meningkat terhadap usaha mengubah identiti agama dan sejarah Masjid Al-Aqsa melalui pelbagai langkah yang didakwa menyasarkan tapak suci umat Islam berkenaan.
Dalam pada itu, Wisma Putra berkata, Malaysia akan terus bersolidariti yang tidak berbelah bahagi terhadap rakyat Palestin serta mengulangi pendirian teguhnya dalam menyokong penubuhan sebuah Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara. – UTUSAN










